Juara Liga Super 11 Kali Lepas 11 Pemain
Hafiz Omar

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjuarai Liga Super sebanyak sebelas kali berturut-turut mengumumkan melepaskan sebelas pemain sebelum memulakan saingan baharu bola sepak musim 2025-2026.
Sebelas pemain itu merangkumi empat pemain tempatan termasuk tiga pemain senior dan berpengalaman iaitu Safiq Rahim (37 tahun), Farizal Marlias (38 tahun) dan Izham Tarmizi (34 tahun).
Seorang lagi pemain adalah penyerang sayap, Ramadhan Saifullah (24 tahun) yang baru sahaja diumumkan menyertai Kuching City FC secara tetap baru-baru ini.
Perkembangan itu dimaklumkan sendiri oleh skuad berjulukan Harimau Selatan menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Bagi pemain import pula, tujuh nama yang dilepaskan oleh JDT terdiri daripada Jordi Amat (33 tahun), Jese Rodriguez (32 tahun), Murilo Henrique (30 tahun), Jonathan Viera (35 tahun), Alvaro Gonzalez (35 tahun), Roque Mesa (36 tahun) dan Anselmo de Moraes (36 tahun).
“Kami mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan dan anda akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada keluarga JDT.” tulis kenyataan tersebut.
Untuk saingan musim baharu, JDT telah mengikat tiga pemain baharu iaitu Antonio Glauder, Jairo da Silva serta bekas pemain tengah Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi.
Selain itu, JDT turut melantik Xisco Munoz kelahiran Sepanyol yang pernah mengemudi Watford sebagai ketua jurulatih baharu.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers