
Sejak tahun 2021, Persatuan Bola Sepak (FA) tidak lagi bertanding dalam saingan Liga Malaysia. Sebaliknya, ianya ditandingi oleh organisasi bola sepak yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ianya merupakan langkah penswastaan dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Susulan itu, tumpuan FA Negeri selaku badan induk bola sepak bagi setiap negeri beralih kepada program pembangunan, kejurulatihan dan pelaksanaan kejohanan peringkat negeri.
Namun begitu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) nampaknya akan kembali beraksi dalam kancah bola sepak tanah air apabila disahkan menyertai Liga A1 Semi-Pro musim 2025-2026.
Penyertaannya itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak di negeri jelapang padi memandangkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sendiri merupakan legasi yang diteruskan daripada KFA sebelum daripada bermulanya era penswastaan.
KFA menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari tampil memberikan penjelasan.
“Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang KFA dan harapan dari peminat setia dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak negeri yang telah lama dibangunkan.”
“Langkah ini bertujuan menyediakan lebih banyak ruang dan platform stabil kepada pemain-pemain muda, bakat baru berpotensi atau pemain tempatan sedia ada untuk meningkatkan prestasi. Secara tidak langsung menyumbang kepada pool pemain buat negeri dan negara.” tulisnya.
“KFA percaya bahawa penyertaan kami dalam Liga A1 ini bukan bertujuan menyempitkan persaingan pasukan bertanding kerana matlamat dan pendekatan pasukan adalah berbeza.”
“Malah, KFA yakin melalui penyertaan ini mampu menarik minat penaja, pelabur dan rakan strategik yang bakal menyumbang ke arah kejayaan pasukan bola sepak negeri.” tambahnya.
Dalam kenyataan yang sama, badan induk itu juga mengesahkan akan menggunapakai nama Kedah FA dalam kancah Liga A1 Semi-Pro yang akan membuka tirainya penghujung Julai nanti.
Selain daripada Kedah FA, seterunya di utara semenanjung tanah air, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) turut melakukan perkara yang sama, beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro selepas Perak FC menghentikan operasinya.