Harimau Malaya Sertai Piala Negara-Negara CAFA Pada September 2025?

June 19, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Adakah perancangan ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Peter Cklamovski pada September kelak bagi menguji anak-anak buahnya bertemu lawan yang kuat dengan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025?

Seorang wartawan, Thomas Bullock mendedahkan menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya bahawa Malaysia (131) dan Oman (77) akan menyertai pasukan tersebut sebagai pasukan jemputan.

Ini membuka ruang buat skuad berjulukan Harimau Malaya menguji kemampuan diri dengan dua pasukan yang akan beraksi dalam kancah Piala Dunia 2026 iaitu Iran (18) dan Uzbekistan (57). 

Manakala empat lagi pasukan dari rantau itu yang turut serta dalam saingan ini ialah Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan Afghanistan (160).

Kedudukan pasukan-pasukan itu yang berada di atas Malaysia selari dengan hasrat Cklamovski yang mahu menguji anak-anak buahnya dengan lawan yang sukar sekaligus dapat mengasah taji sebelum bertemu Laos pada Oktober – perlawanan ketiga dan keempat peringkat Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027.

Namun begitu, Cklamovski berkemungkinan berhadapan dengan kesukaran untuk mengumpulkan pemain-pemain terbaik bagi membarisi Harimau Malaya di kejohanan itu kerana ianya bermula awal beberapa hari berbanding Jendela Perlawanan Antrabangsa FIFA, 1hb hingga 9hb September.

Ianya dijadualkan membuka tirainya pada 26hb Ogos dan melabuhkan tirainya pada 9hb September dengan dijangka berlangsung di Kyrgyzstan dan Uzbekistan. 

Dikhabarkan satu lagi pasukan, Rusia (35) telah menolak untuk menyertai saingan terbabit.

Edisi sulung yang berlangsung pada tahun 2023 lalu, Iran muncul juara selepas menumpaskan Uzbekistan dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Sardar Azmoun bertempat di Stadium Milliy, Tashkent.

Featured Image:ย Central Asian Football Association Facebook

ยฉ 2025 Amanz Media Sdn Bhd