Faiz Nasir Sertai Kelantan Red Warrior FC Bimbingan Irfan Bakti
Hafiz Omar

Pemain tengah lincah bertubuh kecil yang pernah mendapat nama julukan ‘Messi Ganu’ iaitu Faiz Nasir kini menyertai kelab baharu, Kelantan Red Warrior FC yang beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.
Penyertaannya bersama kelab berkenaan dikongsikan sendiri oleh pihak kelab berpangkalan di pantai timur itu menerusi pelbagai platform media sosialnya sekaligus menyaksikan Faiz kembali bersatu dengan Irfan Bakti – ketua jurulatihnya ketika bersama Terengganu FC pada musim 2017 dan 2018.
“Faiz Nasir is now Red Warrior.” tulis kenyataan ringkas oleh Kelantan Red Warrior FC.
Pemain yang bakal menjengah usia 33 tahun itu menyertai Kelantan Red Warrior FC selepas lima musim bersama Terengganu FC – disertainya semula selepas beraksi bersama Selangor FC pada musim 2019.
Dalam tempoh itu juga, Faiz turut dipinjamkan keluar sebanyak dua kali iaitu menyertai Kelantan United FC (kini dikenali sebagai Kelantan Darul Naim FC) dan Kedah Darul Aman FC.
Sebagai rekod, Faiz memulakan karier bola sepak seniornya bersama PBAPP FC sebelum berhijrah menyertai Felcra FC.
Sementara itu, Kelantan Red Warrior turut mengumumkan kemasukan beberapa pemain lain bagi mengharungi saingan liga akan bermula penghujung Julai kelak seperti Syazan Zamri, Harif Hazli, Fariz Saidi, Amin Faisal, Nazmi Cik Ani, Arham Khussyairi, Fahrin Azizuddin, Muhammad Mohd Fauzi, Aikal Daniel, Zuasyraf Zulkiefle dan Muhaimin Izzudin.
Antara persiapan pramusim yang dirancang oleh Kelantan Red Warrior FC adalah turun menentang Terengganu FC dalam satu aksi persahabatan pada 4hb Julai (Jumaat) bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Featured Image: Selangor FC