Kidslympic Malaysia 2025 Berlangsung Pada 10-12 Oktober
Hafiz Omar

Temasya sukan pelbagai disiplin khusus untuk kanak-kanak, Kidslympic Malaysia bagi tahun ini akan berlangsung pada 10hb hingga 12hb Oktober kelak bertempat di Stadiu Merdeka, Kuala Lumpur.
Edisi kedua itu dijangka menghimpunkan lebih 1,500 atlet muda dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara yang dipertandingkan seperti olahraga, renang, bola keranjang 3×3, bola tampar, bola sepak, gimnastik dan perlumbaan halangan.
Pelancaran Kidslympic Malaysia edisi kedua itu dijayakan menerusi Larian Kidslympic Malaysia Kuala Lumpur 2025 di Dataran DBKL pada Ahad disertai oleh pelari-pelari muda yang mewakili sekolah-sekolah, komuniti dan ahli keluarga di sekitar Lembah Klang.

Acara larian itu juga turut mendapat sokongan skuad gimnastik artistik negara diketuai Ng Shu Wai dan pemain boling tenpin negara, Timmy Tan selain kehadiran pemenang pingat perak Olimpik merangkap pengasas bersama Kidslympic Malaysia, Goh Liu Ying.
Menariknya, edisi kali ini disertai oleh Affin Bank dan Watsons Malaysia selaku rakan kongsi utama bagi memperkukuhkan komitmen bersama dari sudut pembangunan belia, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
Bagi sulung Kidslympic Malaysia yang berlangsung Disember 2024 lalu, ianya telah menarik penyertaan seramai lebih 800 kanak-kanak dengan lima acara sukan dipertandingkan – olahraga, sofbol, bola tampar, gimnastik dan pentatlon moden.