Malaysia Sah Sertai Piala Negara-Negara CAFA 2025, Tiada Pesta Bola Merdeka
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya nampaknya sah menyertai saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang akan berlangsung sekitar Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA pada September kelak.
Pengesahan itu hadir menerusi ketua jurulatih skuad kebangsaan sendiri, Peter Cklamovski menerusi hantaran oleh akaun Malaysia NT yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.
Penyertaan Malaysia dalam kejohanan ini selari dengan perancangan yang didedahkan oleh jurulatih berusia 46 tahun berkenaan selepas perlawanan menentang Vietnam baru-baru ini, mahu menguji anak-anak buahnya dengan lawan yang kuat.
Ini berikutan kejohanan itu turut menyertakan dua buah pasukan yang telah mengesahkan tempat ke saingan Piala Dunia FIFA 2026 iaitu Iran dan Uzbekistan yang turut menghuni ranking 18 dan 57 dunia masing-masing.
“Kami berbangga untuk menyertai Kejohanan CAFA 2025. Kami akan berdepan cabaran hebat di tempat lawan dan bersaing dalam persekitaran yang mencabar menentang pasukan-pasukan kuat.”
“Pengalaman ini akan menguji kami dalam pelbagai aspek, di dalam dan di luar padang, dan ia amat penting untuk pembangunan berterusan skuad kebangsaan.”
“Kejohanan ini merupakan satu lagi peluang penting untuk Harimau Malaya mengharumkan nama negara, menyemarakkan semangat penyokong, dan terus membina perpaduan yang diimpikan oleh bola sepak Malaysia.” katanya.
Selain itu, kejohanan ini turut disertai empat lagi pasukan dari rantau asia tengah; Kyrgyzstan (103), Tajikistan (104), Turkmenistan (142) dan Afghanistan (160).
Ini bakal menjadi penampilan sulung Malaysia di kejohanan terbabit. Pada edisi sulung yang berlangsung pada tahun 2023, Iran muncul juara selepas menundukkan Uzbekistan dalam perlawanan akhir.
Sebelum ini, penyertaan Malaysia dalam kejohanan ini didedahkan oleh seorang wartawan, Thomas Bullock menerusi akaun X rasminya pada minggu lalu.
Pada masa yang sama, perkembangan ini menyaksikan saingan Pesta Bola Merdeka tidak akan berlangsung pada tahun ini.
Selepas September, anak-anak buah Cklamovski akan menyambung kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan menentang Laos di tempat sendiri dan lawan pada Oktober.
Featured Image: Malaysia NT