KDN FC Lantik Timbalan Menteri Besar & Exco Sukan Sebagai Penasihat

June 24, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penstrukturan semula Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di bawah Kijang Handal Sdn. Bhd. bukan sahaja menyaksikan mereka menerima Dato’ Mohd Irwan Rizal selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebagai peneraja yang baharu.

Terbaharu, kelab yang dahulunya dikenali sebagai Kelantan United FC itu turut membawa masuk dua individu baharu yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sebagai Penasihat KDN FC.

Dua individu berkenaan adalah Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad. 

“Bola sepak bukan sekadar sebuah permainan. Ia merupakan platform untuk anak-anak Kelantan membuktikan potensi, mengasah bakat dan mengangkat nama negeri dengan penuh jati diri dan maruah.”

“Sukan bola sepak adalah medan penyatuan rakyat, ruang membina karakter dan saluran membentuk masa depan negeri yang lebih cemerlang dan bermaruah.” kata Dr. Mohamed Fadzli ketika pihak kelab mengumumkan kedatangan beliau sebagai penasihat.

Sebelum ini, mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang turut dijuluki sebagai Bapa Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa turut ditawarkan peranan, difahamkan, juga sebagai penasihat tanpa sebarang syarat dan ganjaran.

Ketika ini, KDN FC sedang giat mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026 yang akan membuka tirainya pada 8hb Ogos kelak.

Pada masa yang sama, berdasarkan laporan media tempatan, Irwan turut mengesahkan KDN FC sedang menjalankan rundingan dengan bekas pemain berhubung dengan tunggakan gaji musim 2024-2025 secara berperingkat.

Featured Image: Facebook Zamakhshari Muhamad

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd