Terengganu FC Umum Kemasukan 2 Pemain Tempatan Baharu
Hafiz Omar

Perancangan Terengganu FC untuk mengikat dua pemain tempatan baharu pada jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2025-2026 dimuktamadkan dengan kedatangan penyerang sayap, Baqiuddin Shamsudin dan pertahanan muda, Saiful Jamaluddin.
Kedua-dua pemain tersebut diumumkan sebagai pemain baharu skuad bimbingan Badrul Afzan menerusi pemakluman di pelbagai platform media sosialnya, pada Isnin dan Selasa masing-masing.
Baqiuddin, 30 tahun, kelahiran Kuala Lipis menyertai Terengganu FC selepas empat musim bersama Sri Pahang FC diiringi dengan rekod 100 penampilan serta catatan 17 bantuan gol dan empat jaringan gol.
Beraksi bersama Terengganu FC pada awal Ogos kelak, Baqiuddin akan menyarung jersi Hitam Putih dengan nombor jersi 77.


Sementara itu, Saiful, berusia 23 tahun, diberikan nombor 33 – digunakan oleh Akhyar Rashid pada musim lalu – untuk disarungnya sepanjang musim 2025-2026.
Pemain yang memiliki enam penampilan bersama skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) ini juga datang dari skuad berjulukan Tok Gajah.
Selesainya pengumuman melibatkan dua pemain tempatan ini, para penyokong dan peminat Terengganu FC akan terarah pula kepada pengumuman lima pemain import baharu.
Untuk makluman, jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 2025-2026 dibuka bermula 9hb Jun dan ditutup pada 31hb Ogos 2025.
Setiap kelab boleh mendaftarkan maksimum 30 pemain dengan 15 daripadanya boleh diisi dengan pemain-pemain import.
Featured Image: Sri Pahang FC