Kelab Liga Konferens UEFA Sambar Khidmat Bekas Penyerang TFC
Hafiz Omar

Bekas penyerang Terengganu FC (TFC) yang meledak 23 gol dalam semua kejohanan sepanjang tahun 2023, Ivan Mamut kini menjadi milik kelab yang akan beraksi dalam kancah Liga Konferens UEFA (UECL) – NK Varazdin.
Kelab yang beraksi dalam kancah bola sepak Croatia itu mengesahkan mendapatkan khidmat Mamut menerusi satu pengumuman di platform media sosialnya pada Selasa.
“Ivan Mamut adalah pemain baharu Varazdin.” tulis pihak kelab memperkenalkan pemain berusia 28 tahun tersebut.
Pengumuman itu sekaligus menyaksikan Mamut kembali semula menyertai kancah bola sepak negara kelahirannya selepas beraksi buat kali terakhir di sana pada tahun 2018 bersama NK Sesvete.
Selepas menampilkan prestasi yang cemerlang bersama TFC pada musim 2023, malangnya, Mamut terpaksa berehat panjang pada musim berikutnya susulan mengalami kecederaan tendon achilles pada kaki kirinya ketika menjalani latihan pramusim.
Sebelum mengalami kecederaan terbabit, Mamut, berikutan persembahan cemerlangnya biarpun tidak memberikan impak yang besar pada awalnya telah diberikan kontrak lanjutan selama semusim oleh TFC.
Sepanjang bersama TFC, Mamut telah meledak sebelas gol dalam kempen Liga Super, sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia, dua gol dalam pertandingan Piala FA dan satu gol dalam kancah Piala AFC.
NK Varazdin yang disertai Mamut itu akan memulakan kempen Liga Konferens UEFA dengan beraksi pada pusingan kedua kelayakan menentang Santa Clara dari Portugal pada 24hb dan 31hb Julai masing-masing.
Featured Image: Terengganu FC