Piala Dunia Kelab: Ulsan HD Bimbingan Pan-gon Pulang Tanpa Sebarang Mata
Hafiz Omar

Ulsan HD bimbingan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon menamatkan kempen Piala Dunia Kelab FIFA 2025 tanpa sebarang kemenangan dan pungutan mata.
Situasi itu hadir selepas Juara K-League sebanyak tiga kali berturut-turut itu tewas aksi terakhir peringkat Kumpulan F di tangan wakil Jerman, Borussia Dortmund awal pagi tadi waktu Malaysia.
Dortmund yang menamatkan saingan Bundesliga musim lalu di tangga keempat berhasil mengatasi Ulsan HD dengan kemenangan 1-0 hasil jaringan Daniel Svensson pada minit ke-36 bertempat di Stadium TQL.

Pada Ahad lalu, Ulsan HD telah disahkan tersingkir daripada saingan Piala Dunia Kelab apabila tewas di tangan wakil Brazil, Fluminense FC dengan keputusan 4-2.
Pada perlawanan pembukaannya, Ulsan HD tewas 0-1 di tangan Mamelodi Sundows dari Afrika Selatan.
Berikutan kemenangan pada pagi tadi, Dortmund kendalian Niko Kovac layak ke pusingan 16 selaku juara Kumpulan F hasil mengumpul tujuh mata. Mereka diiringi oleh Fluminense selaku naib juara yang mengutip lima mata.
Peringkat seterusnya menyaksikan Dortmund akan bertemu dengan CF Monterrey dari Mexico sementara Fluminense akan berentap dengan finalis Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2024-2025, Inter Milan.
Featured Image: Ulsan HD FC