Sri Pahang FC Kongsi Sebab Tarik Diri Liga Super 25-26

June 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Sri Pahang FC mempunyai alasan tersendiri bertindak menarik diri daripada saingan Liga Super 2025-2026 biarpun telah diberikan Lesen Kebangsaan oleh pihak First Instance Body (FIB).

Keputusan menarik diri itu diumumkan sendiri oleh badan penganjur, Malaysian Football League (MFL) pada minggu lalu sekaligus menyaksikan hanya 13 kelab bertanding dalam kancah Liga Super musim hadapan.

Menerusi satu kenyataan, kelab berjulukan Tok Gajah itu membuat keputusan berkenaan atas alasan memerlukan masa untuk memperbetulkan struktur dalamannya bagi memastikan 

“Sri Pahang FC mengambil keputusan menarik diri dari Liga Super musim 2025/26 kerana memerlukan masa untuk meningkatkan dan mengukuhkan lagi struktur dalaman demi menjamin masa depan yang lagi cerah untuk Sri Pahang FC.” tulis pihak kelab.

Ianya menyaksikan Liga Super yang akan membuka tirainya pada 8hb Ogos akan ditandingi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC, Melaka FC, Imigresen FC dan DPMM FC – kelab jemputan dari Brunei.

Pada masa yang sama, kelab yang mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-25 itu memberikan bayangan untuk kembali di masa akan datang dengan bermula daripada liga peringkat bawahan.

“Sri Pahang FC berharap akan diberi peluang untuk menyertai pembangunan bola sepak di negeri Pahang dimasa akan datang.”

“Sehubungan dengan itu pihak Sri Pahang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, pihak-pihak berkuasa, penajaan, penyokong dan pengikut Sri Pahang FC, semoga kita berjumpa lagi pada musim hadapan.” tambahnya.

Untuk makluman, Sri Pahang FC (sebelum itu dikenali sebagai Pahang FA) merupakan nama yang cukup besar dalam kancah bola sepak tanah air. Mereka juga merupakan juara edisi sulung Liga Super yang berlangsung pada tahun 2004.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd