Negeri Sembilan FC Ambil Khidmat Anwar Ibrahim
Hafiz Omar

Skuad kendalian Nidzam Jamil iaitu Negeri Sembilan FC tampil mengumumkan kemasukan seorang lagi pemain tempatan baharu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Pemain baharu yang ditandatanganinya itu merupakan seorang pertahanan kanan berusia 26 tahun dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) iaitu Anwar Ibrahim.
Selain memiliki kelebihan fizikal dengan ketinggian 1.81 meter ini mempunyai satu kebolehan yang tidak dimiliki ramai pemain lain iaitu mampu melakukan lontaran jauh ke dalam padang persis seperti bek kiri Johor Darul Ta’zim (JDT), Corbin-Ong.
Penghijrahan ini hadir selepas empat musim Anwar bersama dengan skuad ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dimana dia turut menjadi sebahagian daripada skuad bimbingan Bojan Hodak yang menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2021.
Sebagai rekod, sebelum menyertai KL City FC, Anwar sempat beraksi semusim bersama Selangor FC.
Pada masa yang sama, penghijrahan ini menyaksikan Anwar kembali bersatu dengan Nidzam – ketua jurulatih yang sama membimbingnya ketika menyarung jersi Felda United FC.
Untuk makluman, Anwar merupakan pemain tempatan baharu yang kesembilan ditandatangani oleh Negeri Sembilan FC selepas mengumumkan penyertaan Syed Zaris Irfan, Zahril Azri, Haiqal Hqeemi, Ariff Ar-Rasyid, Hakimi Abdullah, Azri Ghani, Khuzaimi Piee dan Luqman Hakim.
Featured Image: Negeri Sembilan Football Club