Izzuddin, Ilham & Iman Dapat ‘Tiket’ Ke Kelab Bosnia & Herzegovina
Hafiz Omar

Tiga pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) iaitu Izzuddin Afif Nazaruddin, Muhammad Ilham Azani Mohd Azamin dan Muhammad Iman Danish Mohd Shukor mendapat ‘tiket’ untuk terbang ke Bosnia & Herzegovina bagi menjalani satu sesi latihan ujian.
Tiket itu membawa mereka menjalani sesi ujian yang berlangsung dari 5hb hingga 26hb Julai bersama akademi bagi FK Sarajevo – kelab yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Bosnia Herzegovina.
Untuk makluman, kelab ini turut dimiliki oleh ahli perniagaan terkenal tanah air, Tan Sri Dato’ Sri Vincent Tan Chee Yioun bersama-sama ahli perniagaan Amerika-Bosnia, Ismir Mirvic.
Perkembangan menarik itu dikongsikan sendiri oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi satu siaran media yang dikongsikan, sebentar tadi.

Izzuddin dan Ilham merupakan penyerang dan pemain tengah masing-masing. Kedua-dua pemain berusia 17 tahun itu merupakan pemain skuad kebangsaan bawah 17 tahun (B-17) yang beraksi dalam Kelayakan Piala AFC B-17 di Laos pada tahun lalu.
Pada masa yang sama, mereka juga merupakan anggota skuad AMD B-17 yang beraksi dalam saingan Piala Presiden – pertandingan bola sepak kebangsaan bagi peringkat umur bawah 20 tahun (B-20).
Sementara itu, Iman pula merupakan penyerang skuad kebangsaan bawah 16 tahun (B-16) yang beraksi dalam Kejohanan FIFA Youth Series 2025 di Zurich, Switzerland baru-baru ini.
Bagi saingan tempatan, Iman merupakan tonggak skuad AMD B-16 yang sedang bersaing dalam kancah Piala Belia – pertandingan bola sepak kebangsaan peringkat umur bawah 18 tahun (B-18).
Sebelum ini, Luqman Hakim yang merupakan produk AMD menjadi pemain negara terakhir meraih kontrak bersama kelab di eropah apabila khdimatnya diikat oleh kelab Belgium iaitu KV Kortrijk – juga dimiliki oleh Vincent Tan.