Legenda Renang Negara Dilantik Sebagai CDM Sukan SEA 2025
Hafiz Omar

Nurul Huda Abdullah, legenda renang negara, telah dipilih untuk sebagai Chef de Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen bagi Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 9hb hingga 20hb Disember kelak.
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) turut dibantu oleh dua lagi bekas atlet iaitu Nazmizan Muhammad dan Jivan Johan daripada sukan olahraga dan hoki masing-masing selaku Timbalan Ketua Kontinjen.
Turut sama membantu Nurul Huda selaku Timbalan Kontinjen adalah Datuk Kenny Goh yang merupakan Naib Presiden MOM merangkap Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pelantikan ini diumumkan oleh MOM dalam satu kenyataan yang disiarkan pada Isnin. Ia turut menyatakan pemilihan itu dibuat secara bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kejayaan Kontinjen Malaysia di temasya edisi kali ke-33 tersebut.
Untuk makluman, Nurul Huda memegang rekod sebagai pemenang medal paling banyak di temasya Sukan SEA berjumlah 32 butir pingat kesemuanya (22 emas, 8 perak dan 2 gangsa). Kesemua itu diraihnya ketika menyertai Sukan SEA edisi 1985, 1987 dan 1989.
Selain itu, beliau juga mencipta sejarah selaku perenang wanita negara yang pertama dan satu-satunya setakat ini yang meraih pingat di Sukan Asia ketika beraksi pada edisi 1986 – membutirkan 2 pingat perak dan gangsa masing-masing.
Sebelum ini, Nurul Huda pernah dipilih sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA Filipina 2019.
Sementara itu, Nazmizan seperti ramai ketahui merupakan pelari pecut yang berjaya membawa pulang pingat emas daripada temasya Sukan SEA Vietnam 2003 dalam acara pecut 100 dan 200 meter lelaki masing-masing.
Jivan pula merupakan bekas pemain hoki negara yang pernah beraksi dalam pelbagai kejohanan berprestij seperti Piala Sultan Azlan, Piala Asia dan Piala Dunia Remaja termasuk pelbagai temasya sukan.
Beliau sendiri merupakan anggota skuad kebangsaan yang membawa pulang pingat gangsa daripada Sukan Komanwel Melbourne 2006 dan menamatkan saingan di tempat kelima di Sukan Asia Doha 2006. Di temasya Sukan SEA sendiri, Jivan telah menyumbangkan dua pingat emas berturut-turut ketika beraksi pada edisi 2013 dan 2015 dalam acara hoki lelaki.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia