TSAM Cadang Kelantan WTS Jadi ‘Feeder Club’ Kelantan The Real Warriors II

July 8, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tokoh bola sepak negeri Kelantan, Tan Sri Annuar Musa (TSAM) melontarkan satu idea agar Kelantan WTS FC yang beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro, divisyen kedua bola sepak tanah air, menjadi “feeder club” kepada Kelantan The Real Warriors atau nama lamanya, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).

Menurut Annuar yang pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekiranya dijadikan sebagai “feeder club”, Kelantan WTS itu boleh dijenamakan sebagai Kelantan The Real Warriors II sambil kekal diterajui oleh barisan pengurusan sedia ada.

 “Wajar difikirkan secara serius oleh pemilik kelab Liga Super, Kelantan-TRW dan kelab Liga A1 seperti Kelantan WTS untuk membuat penjenamaan yang melayakkan mereka menjadi ‘feeder club’ satu sama lain.”

“Misalnya wujud Kelantan TRW dan Kelatan TRW II dengan organisasi pengurusan dikekalkan tanpa perubahan.”

“Permohonan boleh dibuat kepada MFL dan AFL selari dengan amalan beberapa kelab lain yang mempunyai kaedah ‘feeder club’ seperti JDT dan lain-lain.” tulis Annuar menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya.

Umumnya, sebagai “feeder club” membolehkan mereka bertukar-tukar pemain, barisan kejurulatihan mahupun pegawai dengan kelab induk tanpa perlu membayar sebarang kos penebusan kontrak.

Bukan itu, sahaja, “feeder club” juga dapat mengakses dan berkongsi kepakaran serta sumber kewangan mahupun fasiliti dan kemudahan yang dimiliki oleh kelab induk sekaligus dapat meningkatkan prestasinya di atas padang.

Menariknya, Annuar melontarkan idea “feeder club” itu selepas turun melawat dan menyaksikan Kelantan WTS berlatih di padang latihan rasminya yang terletak di bawah Jambatan Tendong, Pasir Mas pada Ahad lalu.

Lawatan Annuar itu disambut dan ditemani oleh Presiden Kelantan WTS FC, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah. Dalam sesi itu juga, Annuar sempat bertemu dengan beramah mesra dengan para pemain yang rata-ratanya terdiri daripada anak kelahiran negeri Kelantan.

Baru-baru ini, Kelantan The Real Warriors, Kelantan WTS FC dan AZM Rovers FC yang beraksi dalam kancah Liga A2 Amateur juga telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama berganding bahu, memperkukuh hubungan strategik, memperluaskan jaringan komuniti penyokong serta memastikan pembangunan bakat tempatan dapat dijalankan secara lebih tersusun dan profesional.

Untuk makluman, Kelantan WTS berhasil meraih promosi ke saingan Liga A1 Semi-Pro selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Liga A2 Amateur atau Piala Al-Ikhsan musim lalu bersama-sama Perlis GSA FC.

Featured Image: Facebook Tan Sri Annuar Musa

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd