Penganjur Kesal Malaysia Tarik Diri Piala Negara-Negara CAFA 2025

July 16, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) yang merupakan penganjur bagi Piala Negara-Negara CAFA 2025 kesal dengan tindakan Malaysia menarik diri daripada saingan tersebut yang akan berlangsung dari 29hb Ogos hingga 8hb September kelak.

Kekesalan itu disampaikan menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di pelbagai platform media sosialnya kira-kira enam jam selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan menarik diri daripada kejohanan di rantau asia tengah terbabit.

“Malangnya, penarikan diri pada saat akhir ini telah menyebabkan beberapa proses yang sedang dijalankan terjejas, khususnya dalam perancangan dan persiapan pada peringkat akhir,” tulis kenyataan oleh CAFA. 

Pada masa yang sama, CAFA turut menjawab beberapa dakwaan daripada FAM seperti tiada sebarang perubahan tarikh kejohanan sejak dari saat Malaysia mengesahkan diri untuk bertanding. 

Manakala bagi alasan mengenai tempoh tiga hari kejohanan yang berlangsung di luar jendela perlawanan antarabangsa FIFA yang menyebabkan kekangan untuk memanggil pemain, CAFA memaklumkan pendaftaran akhir pemain boleh dihantar berdasarkan perlawanan demi perlawanan – daripada senarai awal 35 pemain.

Jelasnya lagi, peraturan itu membenarkan fleksibiliti yang maksimum bagi setiap pasukan termasuk kemungkinan untuk seseorang pemain tonggak menyertai pasukan dalam perlawanan berikutnya.

“CAFA kekal komited untuk menganjurkan kejohanan yang berkualiti tinggi dan kompetitif untuk orang asia tengah dan di luarnya, dan kami berterima kasih kepada negara-negara yang menyertainya atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.” tambah kenyataan itu lagi.

Dengan penarikan diri oleh Malaysia, kejohanan itu kini disertai tujuh pasukan terdiri daripada Iran, Kyrgyzstan, Afghanistan, Uzbekistan, Tajikistan dan Oman.

Featured Image: Central Asian Football Association

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd