Terbuka Jepun: Tang Jie-Ee Wei Jumpa Yuichi-Sayaka Di Suku Akhir
July 17, 2025 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir selepas mengatasi pasangan dari negara jiran tetangga, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu pada pusingan 16 di Terbuka Jepun 2025, sebentar tadi.

Dalam pertarungan terbabit, Tang Jie-Ee Wei yang turun dengan rekod kemenangan sebelum ini mengulangi keputusan yang sama ke atas Jafar-Felisha menerusi kutipan mata 17-21, 21-16 dan 21-12 dalam masa hampir satu jam lamanya.

Kemenangan itu sekaligus membawa Tang Jie-Ee Wei, pilihan keempat kejohanan, bertemu dengan wakil tuan rumah yang menduduki raking ke-24 dunia, Yuichi Shimogami dan Sayaka Hobara.

Tang Jie-Ee Wei dilihat perlu berwaspada dengan lawannya yang terdiri daripada pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu. 

Mereka berhasil mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir dengan mengejutkan pilihan ketujuh kejohanan dari Perancis, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Yuichi-Sayaka melakar kemenangan ke atas beregu berpengalaman itu dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-19 dalam masa 42 minit.

Perlawanan yang dijadualkan pada Jumaat untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir bakal menjadi pertembungan sulung melibatkan Tang Jie-Ee Wei dan Yuichi-Sayaka di kejohanan antarabangsa.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen