Terbuka Jepun: Kempen Pang Ron-Su Yin Berakhir Di Pusingan 16

July 17, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Kempen beregu campuran No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin di Terbuka Jepun 2025 menemui titik noktahnya di pusingan 16 selepas tewas di tangan pasangan No.2 dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin.

Sesuai dengan statusnya sebagai pasangan No.2 dunia, Zhen Bang-Ya Xin ternyata tidak memberi muka kepada Pang Ron-Su Yin apabila menumpaskan mereka secara “straight set” menerusi skor 21-9 dan 21-6 dalam masa 26 minit sahaja.

Keputusan itu menyaksikan Pang Ron-Su Yin gagal mencipta kemaraan ketiga ke peringkat suku akhir daripada sembilan kejohanan individu yang disertainya pada tahun ini.

Sementara itu, Zhen Bang-Ya Xin yang mencatatkan kemaraan ke peringkat suku akhir akan bertemu dengan sepasang lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai. 

Untuk makluman, Zhen Bang-Ya Xin mempunyai rekod cemerlang bertemu Soon Huat-Shevon dengan mencetak tujuh kemenangan daripada lapan pertemuan di kejohanan antarabangsa.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd