Pemain Lelaki & Wanita Muslim Wajib Pakai ‘Legging’ Beraksi Di Kejohanan Ragbi National 7s
Hafiz Omar

Kesemua pemain lelaki dan wanita yang beragama Islam diwajibkan untuk memakai “legging” atau “tight” panjang ketika beraksi dalam Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan (National 7s) pada 25hb hingga 27hb Julai nanti.
Penganjur iaitu Kesatuan Ragbi Malaysia (MR) tampil mengumumkan kewajipan itu secara rasmi menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di akaun media sosial rasminya, pada Khamis.
Untuk makluman, kejohanan itu akan berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Terengganu. Penganjur menjelaskan, keputusan itu dibuat sebagai satu usaha untuk menggalakkan pematuhan syariah selaras dengan nilai dan budaya setempat.

Tinjauan di ruangan komen mendapati kewajipan itu disambut baik oleh para peminat dan penyokong. Malahan terdapat juga yang mencadangkan kewajipan itu turut dipatuhi oleh pengadil yang akan bertugas di sana.
Kejohanan National 7s bakal menarik kehadiran 41 pasukan dimana 12 pasukan daripadanya terdiri daripada kategori Terbuka Lelaki, tujuh pasukan Terbuka Wanita, 12 pasukan Lelaki Bawah 21 Tahun dan 10 pasukan Wanita Bawah 21 Tahun.
Kejohanan edisi lalu yang turut berlangsung di bumi Darul Iman itu menyaksikan Johor muncul juara kategori Lelaki Terbuka selepas menundukkan Selangor 22-0 pada perlawanan akhir.
Johor turut menjelmakan kejuaraan berganda apabila berjaya menjuarai kategori Lelaki Bawah 21 Tahun hasil merekodkan kemenangan ke atas Terengganu 26-12.
Sementara itu kategori Terbuka Wanita pula menjadi milik Selangor selepas membenam cabaran Perlis dengan keputusan 15-5 dan Terengganu mengungguli kategori Wanita Bawah 21 Tahun selepas membantai Selangor 17-0.
Featured Image: Malaysia Rugby