
Pasangan badminton campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berjaya menjejakkan kaki ke separuh akhir Terbuka Jepun 2025 sekaligus menandakan kemaraan kedua pada peringkat tersebut dalam Jelajah Dunia BWF Super 750 untuk tahun ini.
Bertemu dengan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami dan Sayaka Hobara, mereka ternyata bukan lawan setara dengan Tang Jie-Ee Wei yang turut diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan.
Pertarungan yang berlangsung di atas Gelanggang 1, Gimnasium Metropolitan Tokyo itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei berhasil melakar kemenangan dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-12 dalam masa 32 minit.
Sementara itu, di peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada Sabtu, Tang Jie-Ee Wei akan bertembung dengan beregu campuran No.2 dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin.
Pasangan dari negara tembok besar yang turut diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan itu berjaya menjejakkan kaki ke separuh akhir selepas menundukkan wakil Malaysia, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai, sebentar tadi.
Dalam perlawanan tersebut, Zhen Bang-Ya Xin mencetak kemenangan juga secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 23-21 dalam tempoh masa 38 minit sekaligus menyingkirkan Soon Huat-Shevon daripada kejohanan ini.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia