Terbuka Jepun: Yew Sin-Ee Wei Hantar Bekas Beregu No.1 Dunia Pulang

July 18, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Bekas beregu lelaki No.1 dunia, Liang Weng Keng dan Wang Chang terpaksa mengemaskan beg dan meninggalkan negara matahari terbit pada hari ini apabila kandas di suku akhir Terbuka Jepun 2025, sebentar tadi.

Ianya gara-gara gandingan pemain dari China itu tumpas dikejutkan oleh beregu negara yang pernah di kemuncak prestasi sekitar penghujung 2022 namun terumbang-ambing prestasinya kebelakangan ini, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.

Dalam pertarungan itu, Wei Keng-Chang tewas secara “straight set” menerusi skor 25-23 dan 21-19 dalam masa 41 minit.

Menariknya, Yew Sin-Ee Yi menjelmakan kemenangan ke atas Wei Keng-Chang itu buat julung kalinya selepas tewas tiga pertemuan terakhir yang berlangsung di pusingan 32 Terbuka India 2025, Masters Malaysia 2025 dan Terbuka Indonesia 2025.

Hasil daripada kemenangan itu, Yew Sin-Ee Yi dapat melangkah ke peringkat separuh akhir julung kalinya selepas hampir 10 bulan dalam kejohanan yang disertai mereka.

Menanti mereka di situ, beregu Korea yang menduduki ranking ketiga dunia, Kim Won Ho dan Seong Seung Jae.

Gandingan yang merangkul dua gelaran Jelajah Dunia BWF Super 1000 pada tahun ini di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England dan Terbuka Indonesia itu mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan sepasang lagi beregu dari Malaysia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

Wei Chong-Kai Wun tewas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 13-21, 21-18 dan 13-21.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd