Kedah FA Perkenal Jersi & Barisan Penaja Bagi Kempen Liga A1 Semi-Pro

July 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pasukan yang dilahirkan semula oleh Persatuan Bola Sepak Kedah iaitu Kedah FA tampil memperkenalkan jersi baharu, barisan penaja dam anggota skuad bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.

Ketiga-tiganya diperkenalkan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Melor, Seri Mentaloon pada Isnin sambil dihadiri oleh Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam majlis itu, Kedah FA memperkenalkan jersi “home” dan “away” bertemakan hijau kuning dan hijau gelap masing-masing keluaran jenama Mitre (Arena Prestij Sdn Bhd). Sementara itu, jersi penjaga gol pula ditampilkan menerusi tiga persalinan berwarna kelabu, biru cair dan merah.

Bahagian hadapan jersi pula dihiasi dengan logo kempen pelancongan Negeri Kedah iaitu “Experience Kedah” hasil penajaan daripada agensi Kedah Tourism Sdn Bhd.

Selain itu, turut menghiasi jersi mereka adalah logo Menteri Besar Incorporated (MBI), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) – di bahagian bahu sebelah hadapan serta Pancaran Matahari dan CT Global Tours Sdn Bhd – di bahagian belakang.

Dalam majlis yang sama, turut diperkenalkan senarai penuh barisan pegawai Kedah FA yang diketuai oleh Victor Andrag (ketua jurulatih) dibantu oleh Rizal Johari (penolong ketua jurulatih), Ragesh Subramaniam, Helmi Eliza (jurulatih penjaga gol), Zulkifli Jaafar (jurulatih kecergasan), Muhammad Nur’Illya Samsudin (fisioterapi), Dr. Mohd Fakhrulsani (doktor) Anizar Hussein dan Taufiq Ahmad Mahar (kitman).

Sementara itu, pemain-pemain pula dibarisi oleh Muhaimin Mohamad, Rajendran Veloo, Muhammad Alfaiz (penjaga gol), Safwan Shuhaimi, Azim Anuar, Afzal Akbar, Aiman Farhan, Muhammad Ammar, Aqil Irfanuddin, Kamil Akmal dan A. Namathevan (pertahanan).

Senarai itu diikuti dengan Zhafir Yusoff, R. Barathkumar, Afif Dinie Salmi, Akmal Hakim Rosli, Muhammad Danial Tarmizi, Jasmir Mehat dan Aizat Najmie (pemain tengah) serta Hijjaz Hakimi Romdan, Aiman Afif, Nabil Latpi, T. Sasvintharan dan Isa Raman (penyerang).

Featured Image: Persatuan Bola Sepak Kedah

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd