Tahap Liga Jepun Lebih Tinggi Daripada Asia Tenggara – Dion Cools

July 23, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Saingan bola sepak Jepun berada di tahap yang lebih tinggi daripada asia tenggara. Itu pandangan yang dilontarkan oleh pertahanan berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang kini beraksi bersama Cerezo Osaka dalam kancah Liga J1.

Cools, 29 tahun, menyertai kelab berjulukan Sakura itu secara rasmi sekitar enam minggu yang lalu sekaligus menjadikannya sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di kancah tertinggi bola sepak negara matahari terbit berkenaan.

Perpindahan itu hadir selepas Dion beraksi selama dua musim dan setengah bersama kelab gergasi Thailand, Buriram United dan membantu skuad berjulukan “Thunder Castle” itu merangkul pelbagai gelaran juara.

Pada 5hb Julai lalu, Dion merekodkan debut bersama Cerezo Osaka apabila masuk sebagai pemain gantian ketika bertemu Gamba Osaka, perlawanan derbi Osaka, dalam aksi minggu ke-23 liga.

Berkongsikan pengalamannya menyesuaikan diri bersama kelab yang menghuni tangga kesembilan liga itu, Dion mengakui mengambil sedikit masa berikutan tiba di sana pada pertengahan musim serta baru sahaja selesai menggalas tugas bersama skuad kebangsaan.

“Liga Jepun, pada pendapat saya, tahapnya lebih tinggi daripada asia tenggara. Jadi saya perlu menyesuaikan diri dengan rentak permainannya, tetapi segalanya sangat baik, adanya sokongan daripada staf dan pasukan,” 

“Saya gembira dapat melakukan debut dan bermain dalam beberapa perlawanan, menunjukkan kualiti saya dalam Liga J dan kini saya terus berusaha meningkat (prestasi) saya di Jepun.” katanya kepada pihak media dalam satu acara bersama Adidas.

Selain menyesuaikan diri dengan tahap bola sepak di sana, Cools turut mengambil inisiatif untuk mempelajari asas bahasa Jepun. Perkara itu dilakukannya sebagai penghormatan selain menunjukkan usahanya untuk bergaul bersama orang-orang di sana.

Walaubagaimanpun, Cools menjelaskan dia tidak mempunyai masalah komunikasi di sana memandangkan ramai staf-staf kelab boleh berkomunikasi dengannya menggunakan bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, rakan sepasukannya juga ramai memahami asas bahasa Inggeris.

“Pertama sekali, semua staf-staf (kelab) bertutur dalam bahasa Inggeris, ini bukan masalah besar, saya merasakan ramai pemain menghormati satu sama lain (walau berbeza bahasa) dan kami boleh berkomunikasi (dengan baik),” 

“Sudah tentu terdapat kesukaran (berkomunikasi) dengan beberapa pemain tetapi secara umumnya ramai tahu asas bahasa Inggeris dan Jepun, jadi saya boleh meluahkan fikirannya (dengan rakan sepasukan),” katanya.

Sempat juga pemain kelahiran Sarawak berkongsikan beberapa perkataan asas yang telah dipelajiranya dalam bahasa Jepun seperti hello (konnichiwa), selamat tinggal (sayonara), terima kasih (arigato) dan lain-lain.

“Saya cuba (bertutur) dengan lebih banyak dengan berbual-bual (bersama rakan-sepasukan dan staf kelab) tetapi buat masa ini masih mampu bertutur sedikit sahaja, saya akan cuba berlatih lagi (supaya) akan datang saya boleh bertutur lebih (dalam bahasa Jepun) dengan kamu semua,” tambahnya.

Cools dijangka tampil bersama Cerezo Osaka dalam perlawanan seterusnya pada pusingan keempat Piala Maharaja apabila kelabnya bertemu FC Tokyo pada 6hb Ogos kelak.

Selepas itu, kelabnya akan menerima kunjungan Albirex Niigata bagi aksi ke-24 liga di gelanggangnya sendiri pada 11hb Ogos.

Featured Image: Facebook J.League (Japan Professional Football League)

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd