Harimau Malaya Uji Singapura, Palestin Pada September
Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasil mendapatkan dua buah pasukan untuk dihadapi oleh skuad kebangsaan pada Jendela Antarabangsa FIFA bulan September sebagai ganti kepada penarikan diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025.
Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini, dua pasukan itu adalah negara jiran tetangga, Singapura dan pasukan dari rantau asia barat, Palestin yang menghuni ranking ke-159 dan ke-98 dunia masing-masing.
Kedua-duanya dijadualkan bertemu Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski pada 4hb dan 8hb September masing-masing di halaman sendiri, Kuala Lumpur.
“Kami amat berbesar hati kerana berjaya mengatur dua perlawanan berkualiti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Skuad Kebangsaan, Rob Friend.
“Ia merupakan peluang luar biasa untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri di Kuala Lumpur.”
“Singapura membawa cabaran serantau yang kompetitif dan penuh sejarah manakala Palestin pula merupakan lawan taktikal yang berbeza serta merupakan pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia mengikut ranking FIFA.”
“Kedua-dua perlawanan ini akan menjadi medan penting untuk menambah pengalaman serta memperkukuh kualiti pasukan kami.” tambahnya.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir bertemu Singapura adalah pada penghujung tahun lalu dalam saingan Piala ASEAN 2024 dimana ianya berakhir dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan.
Sementara itu, kali terakhir Malaysia merekodkan pertemuan dengan Palestin adalah pada November 2015 dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia dimana Harimau Malaya tewas 0-6.
Pertengahan Julai baru-baru ini, FAM mengumumkan Malaysia menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang menghimpunkan Iran, Uzbekistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Afghanistan dan Oman atas alasan cabaran daripada pelbagai aspek seperti sukar untuk mengumpulkan pemain-pemain dalam masa yang singkat, keperluan pemulihan pemain dan bajet.
Featured Image: Malaysia NT