Selangor FC, Daikin Malaysia Perbaharui Kerjasama Tahun Ketiga
Hafiz Omar

Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC dan salah satu jenama penyejukan udara terkemuka dunia, Daikin tampil meraikan pembaharuan kerjasama strategik bagi tahun ketiga berturut-turut.
Pembaharuan itu sekaligus mengekalkan komitmen Daikin Malaysia selaku Penaja Platinum buat skuad berjulukan Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga Malaysia, Kejohanan Kelab ASEAN dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2025-2026.
Majlis menandatangani pembaharuan kerjasama strategik melibatkan kedua-dua entiti ini berlangsung pada pagi tadi bertempat di Daikin Customer Care Center, Petaling Jaya.
“Pembaharuan ini bukan sahaja kesinambungan sokongan kami, tetapi juga satu penekanan semula terhadap komitmen jangka panjang kami terhadap nilai-nilai penting seperti perpaduan, semangat berpasukan, dan gaya hidup sihat,” kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Daikin Malaysia, Toshiharu Tsurumaru.
Sejak dua tahun lalu, kehadiran Daikin dapat dilihat dengan jenamanya menghiasi jersi perlawanan dan jersi latihan Selangor FC termasuk musim yang mendatang.
Kerjasama tahun ketiga ini mengukuhkan lagi platform Daikin dalam penglibatan komuniti penjenamaan serta advokasi alam sekitar menerusi tema “Cooling the Future, Powering A Sustainable Selangor”.
Daikin menggunakan kerjasama ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemulihan bahan penyejuk, kecekapan tenaga dan kelestarian di samping membina hubungan yang lebih bermakna dengan para peminat dan penyokong.
Untuk makluman, Selangor FC akan memulakan kempen musim bola sepak baharunya dengan bertemu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 8hb Ogos kelak yang merupakan Perlawanan Sumbangsih merangkap aksi pertama Liga Super 2025-2026.