Liga A1 Semi-Pro: Kelompok 5 Terbaik Sasaran Imigresen FC II
Hafiz Omar

Imigresen FC kini tampil selaku pasukan berstatus “feeder club” dalam kancah Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 menggunakan nama Imigresen FC II (IFC II).
Pihak pengurusan telah melantik Azlan Ahmad selaku ketua jurulatih buat skuad ini. Bekas pengendali skuad Piala Presiden Negeri Sembilan FC membentuk skuad dengan adunan sembilan pemain daripada skuad musim lalu dengan beberapa pemain muda baharu.
“Kita membawa masuk pemain muda baharu yang ada pengalaman dalam liga bola sepak tempatan, selain mengekalkan pemain pertahanan import (Brazil) Felipe De Lima Ribeiro dan akan membawa masuk penyerang import baharu,” katanya kepada Amateur Football League (AFL).
Biarpun musim lalu Imigresen FC berhasil muncul naib juara, Azlan meletakkan sasaran untuk membawa “feeder club” ini menduduki kelompok lima terbaik di akhir musim Liga A1 Semi-Pro.

Sasaran itu diletakkannya setelah mengambil kira saingan yang lebih kompetitif pada musim ini dengan penyertaan beberapa pasukan berstatus negeri.
“Saingan kali ini bukan sama seperti sebelumnya, jadi secara peribadi saya ingin memastikan IFC II menamatkan aksi dalam kelompok lima terbaik,” ujarnya.
Selain pasukan berstatus negeri, Liga A1 Semi-Pro yang akan membuka tirainya pada 2hb Ogos kelak turut disertai dua buah pasukan yang juga berstatus “feeder club” daripada kelab induk yang beraksi dalam kancah Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim II dan Selangor FC II.
Untuk makluman, IFC II akan membuka kempen Liga A1 Semi-Pro bertemu Manjung City FC di tempat lawan pada 2hb Ogos.
Selepas itu, mereka akan melayan kunjungan Armed Forces FC di lamannya sendiri, Stadium UPM, Serdang pada 8hb Ogos untuk aksi kedua liga.
Featured Image: Amateur Football League