Liga A1 Semi-Pro: Pendatang Baharu Pertaruh Anak Jati Perlis
Hafiz Omar

Perlis GSA FC, pendatang baharu, mempertaruhkan skuad yang dibarisi dengan anak jati kelahiran negeri Perlis bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 yang akan bermula awal Ogos nanti.
Terdahulu, Perlis GSA FC mengesahkan promosi ke saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini selepas berhasil mara ke perlawanan akhir Liga A2 Piala Al-Ikhsan 2024.
Tidak terhenti setakat itu, mereka mengukir kegembiraan yang berganda apabila turut berjaya merangkul kejuaraan berkenaan susulan menumpaskan Kelantan WTS FC menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam.
“Perlis GSA FC akan diperkuatkan dengan majoriti pemain-pemain sedia ada dengan beberapa penambahbaikan terutamanya penyertaan pemain bakat baharu berusia 22 tahun.”
“Mereka semua adalah anak jati Perlis yang akan menggalas cabaran selaku wakil tunggal Perlis dalam pentas liga bola sepak tempatan ketika ini,” kongsi Pengurus Perlis GSA FC, Amar Rohidan kepada Amateur Football League (AFL).

Baca: GSA FC Tukar Nama, Kini Dikenali Perlis GSA FC
Selaku pendatang baharu, Amar yang pernah beraksi bersama Perlis FA, Kedah FA, Felda United dan Kelantan FA lebih selesa melabelkan pasukannya dengan status “underdog” atau bukan pilihan.
Apatah lagi kancah Liga A1 kali ini turut disertai pasukan berstatus negeri dan yang pernah beraksi dalam kancah bola sepak tertinggi tanah air, Liga Super.
Oleh demikian, sasaran realistik diletakkan pasukannya dengan kelompok 10 terbaik menjadi buruan pada penghujung musim kelak.
“Untuk musim pertama (Liga A1) saya jangkakan saingan sengit terutamanya dengan adanya beberapa pasukan yang pernah beraksi di Liga Super.”
“Ini cabaran yang perlu dihadapi pemain-pemain Perlis GSA FC, kami akan harungi satu persatu dan meletakkan sasaran menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik,”
“Ini peluang pemain untuk menimba pengalaman beraksi dalam saingan yang kompetitif seumpama ini dan mengharapkan segala perancangan pasukan berjalan lancar,” tambahnya.
Perlis GSA FC akan memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro dengan melayan kunjungan Kedah FA bimbingan Victor Andrag di lamannya sendiri, Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 2hb Ogos.
Featured Image: Amateur Football League