Trio Pengadil Malaysia Dipilih Bertugas Di Piala Dunia B-20 FIFA

July 24, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kejohanan Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2025 FIFA yang dijadualkan berlangsung bermula 27hb September hingga 19hb Oktober di Chile bakal menyaksikan kelibat tiga individu dari Malaysia yang akan bertugas selaku pengadil dan penolong pengadil.

Tiga nama yang terpilih itu merupakan susuk yang tidak asing dalam kancah kepengadilan tempatan dan antarabangsa iaitu Muhammmad Nazmi Nasaruddin selaku Pengadil serta Muhammad Zairul Khalil Tan dan Mohamad Mu’azi Zainal Abidin sebagai Penolong Pengadil.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada trio pengadil Malaysia dan mengucapkan selamat menjalankan tugasnya di kejohanan itu nanti.” demikian kenyataan yang dikongsikan oleh FAM.

“Kepimpinan tertinggi FAM juga mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana memberi kepercayaan tinggi kepada pengadil Malaysia dan menganggap pemilihan ini sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan besar dalam usaha FAM memartabatkan mutu pengadilan.” tulis kenyataan itu.

Terdahulu, Nazmi telah dipilih sebagai FIFA ‘World Cup Candidate 2026’ iaitu salah seorang calon pengadil utama bagi Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat,Canada dan Mexico. 

Sebelum ini, Nazmi juga memahat namanya selaku pengadil Malaysia pertama yang mengadili perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

“FAM juga telah membuat beberapa langkah proaktif dari aspek perancangan latihan perlawanan serta bantuan kepakaran untuk Nazmi dan dua pembantunya agar persiapan mereka ke Piala Dunia B-20 (FIFA) 2025 di Chile dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya menunjukkan satu prestasi cemerlang dalam kejohanan tersebut.” tambah kenyataan itu lagi.

FAM melihat pentas ini sebagai satu batu loncatan buat Nazmi untuk dipilih sebagai pengadil utama dan pertama dari Malaysia yang akan terpilih ke Piala Dunia 2026 kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd