Kelab Diterajui Annuar Musa Ikat Khidmat Azam Azih

July 29, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang dijenamakan semula dan diterajui oleh Tan Sri Annuar Musa, Kelantan The Real Warriors FC tampil mengikat khidmat Nor Azam Azih – salah seorang pemain tengah tempatan yang berkaliber.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Annuar selaku Presiden Kelantan The Real Warriors FC menerusi akaun Facebook peribadinya, pada hari ini.

Dalam perkongsian yang sama, Annuar turut mendedahkan bekas pemain tengah import Terengganu FC yang mempunyai pasport Bahrain iaitu Habib Haroon turut menjadi sebahagian daripada skuad bimbingan E. Elavarasan.

“Sebagai usaha memperkasa bahagian tengah pasukan Liga Super Kelantan, kita bersetuju membawa masuk dua tonggak penting,”

“Nor Azam Azih (30) dan Habib Haroon (24) kini sebahagian daripada skuad 28 pemain TRW.” katanya.

Azam, yang mempunyai 24 penampilan bersama skuad kebangsaan berpindah ke Kelantan The Real Warriors FC susulan kelab yang disertainya sejak sedekad yang lalu, Sri Pahang FC (dahulunya dikenali sebagai Pahang FA) menarik diri daripada kancah Liga Super.

Bersama skuad berjulukan Tok Gajah itu, Azam berjaya menjulang satu trofi hasil merangkul kejuaraan Piala FA 2018 selepas menewaskan Selangor FC dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Sementara itu, Habib, bukan nama yang asing dalam kancah bola sepak tanah air. Mula menyertai Terengganu FC pada 2021 dan menjadi salah satu ayam tambatan dalam skuad bimbingan Nafuzi Zain pada musim 2022. 

Selain bersama Terengganu FC, Habib juga pernah berkelana bersama Kedah Darul Aman FC yang berpangkalan di utara semenanjung tanah air sebelum kembali semula ke saingan bola sepak Bahrain. 

Selain itu, Annuar turut mendedahkan pasukannya akan mendapatkan dua orang lagi pemain bagi melengkapkan skuad 30 pemain.

Salah satu yang disasarkannya dilihat untuk menggantikan Hein Htet Aung – yang disasarkannya sebelum ini namun tidak dapat direalisasikan berikutan pemain itu membuat keputusan untuk menyertai kelab di negara kelahirannya, Yangon United FC. 

“Dua lagi pemain tempatan dan satu pemain ASEAN akan memperkukuh barisan pertahanan.” tambahnya.

Featured Image: Pahang FA

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd