Soh Wai Ching Sasar Panjat Menara Kedua Tertinggi Dunia Bawah 16 Minit

July 30, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Atlet larian menara, Soh Wai Ching meletakkan sasaran peribadi untuk memanjat 2,845 anak tangga menara kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118 dengan catatan masa di bawah 16 minit.

Wai Ching, 30 tahun, mahu merealisasikan sasaran peribadinya itu dalam The Sky Race, acara larian menara yang julung kalinya berlangsung di Merdeka 118, yang akan berlangsung pada 30hb Ogos (Sabtu) kelak.

Wai Ching yang kini berada di ranking kedua dunia dalam sukan ini berkongsikan bahawa laluan tangga bagi menara setinggi 678.9 meter (m) itu mempunyai cabaran yang tersendiri dan mampu memberikan kejutan kepada peserta yang lain.

Namun begitu, selaku atlet tempatan, Wai Ching mendapat sedikit keistimewaan sebelum bermulanya acara larian itu susulan diberikan lampu hijau oleh pemilik menara untuk berlatih di situ sekaligus menaikkan semangatnya untuk muncul juara.

“Tangga Menara Merdeka 118 bukan macam biasa, agak pelik. Saya tak nak kongsi banyak sebab biarlah ada kejutan untuk peserta lain.

“Bagaimanapun, apa saya boleh beritahu, ini satu daripada tangga paling mencabar yang saya pernah panjat,” katanya kepada pihak media selepas majlis Pelancaran The Sky Race di Stadium Merdeka, hari ini.

Wai Ching dijangka bersaing sengit dengan pelari menara dari negara matahari terbit, Ryoji Watanabe yang kini menghuni ranking pertama dunia.

Pada masa yang sama, Wai Ching juga dalam sasaran untuk merampas semula kedudukan nombor satu dunia daripada seterunya yang berusia 41 tahun terbabit.

Menurutnya, kemenangan dalam acara The Sky Race di Merdeka 118 dan diikuti dengan kejuaraan dalam perlumbaan di Shanghai Tower, China pada November hadapan menjadi resipi terbaik untuk kembali di takhta nombor satu dunia.

Sementara itu, Pengurus Besar dan Pengarah Larian The Sky Race, Jeffrey Ross berkata seramai 4,100 peserta dari 31 negara telah mendaftar setakat ini. Secara keseluruhan, beliau mensasarkan penyertaan 5,000 peserta sebelum pendaftaran ditutup dalam tempoh 10 hari lagi.

Bagi yang berminat untuk mengambil bahagian, tiket penyertaan boleh didapati menerusi laman sesawang, theskyrace.com dengan harga RM159 (individu) dan RM449 (3 orang sekumpulan).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd