Pengalaman Terbaik Buat Pemain-Pemain Kelab Liga A1 Semi-Pro
Hafiz Omar

Tiga kelab Liga A1 Semi-Pro tidak perlu gentar sebaliknya menjadikan aksi bertemu gergasi Liga Super pada pusingan 16 dalam saingan Piala FA 2025-2026 sebagai batu loncatan untuk menimba pengalaman berguna.
Itu yang disuarakan oleh bekas pemain Terengganu FA, Ahmad Nordin Alias selepas berakhir undian pada Isnin lalu yang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi berhadapan UM-Damansara FC serta dua buah lagi kelab iaitu Bunga Raya FC akan bertemu Sabah FC sementara Malaysian University FT akan menentang finalis Piala FA edisi lalu, Selangor FC.
Pertembungan itu dilihat cukup mencabar buat tiga kelab amatur ini memandangkan JDT, Selangor dan Sabah merupakan antara pasukan terbaik Liga Super. Namun begitu, Nordin berpandangan positif untuk melihat perlawanan itu sebagai landasan terbaik bagi menguji kualiti yang ada pada pemain-pemain mereka di Liga A1.
Pada masa yang sama, Nordin yang cukup diingati menjaringkan gol kemenangan buat Terengganu FA dalam perlawanan akhir Piala FA 2011 menganggap tiada apa yang mustahil untuk melihat berlakunya kejutan memandangkan pusingan 16 ini akan berlangsung secara timbal balik.
“Apabila kita melihat format pusingan 16 yang akan beraksi secara timbal balik, kita tahu akan ada kejutan boleh berlaku.”
“Sebab kalau satu kelab kalah di perlawanan pertama, sekurang-kurangnya mereka ada masa untuk perbaiki apa yang patut di perlawanan kedua pula.”
“Tapi yang menarik saya nak tengok adalah apabila 3 kelab Liga A1 Semi Pro akan berjumpa dengan 3 pasukan besar (JDT, Selangor & Sabah), situasi ini kita lihat mungkin laluan mudah untuk pasukan Liga Super.”
“Tapi saya percaya ia akan jadi satu pengalaman terbaik untuk dipelajari oleh pemain-pemain daripada kelab tersebut sebab bukan selalu peluang ini hadir untuk mereka lawan kelab seperti JDT, Selangor dan Sabah,” jelasnya.

Sementara itu, bekas kapten Perak FA, Ahmad Shahrul Azhar pula membayangkan Kuching City FC selaku pasukan yang giat melakukan persiapan dalam pramusim bakal beri tentangan menarik kepada kelab jemputan, DPMM FC.
“Kuching City tahun lepas banyak buat kejutan ketika di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak, jadi musim ini kita nak tengok juga sejauh mana kualiti mereka.”
“Jadi apabila diundi bertemu DPMM FC, saya percaya mesti ramai yang menanti untuk tengok perlawanan itu yang tidak boleh jangka prestasi kelab baharu ini.”
“Tapi secara keseluruhan undian kali ini, apa sahaja boleh berlaku baik pasukan besar atau pasukan yang kurang berpengalaman,” katanya.
Hasil undian turut menyajikan beberapa pertembungan yang menarik lain seperti perlawanan antara Negeri Sembilan FC dan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang) dan juara Piala FA sebanyak dua kali, Terengganu FC akan berentap berdepan Imigresen FC di lamannya sendiri.
Kelantan The Real Warriors FC yang dijenamakan semula daripada Kelantan Darul Naim FC pula akan membuat perhitungan untuk merebut slot suku akhir dengan skuad ibu kota, Kuala Lumpur City FC manakala pendatang baharu Liga Super, Melaka FC pula akan bertembung dengan Penang FC.
Featured Image: Malaysian Football League