Dr. Daud Bakar Persoal Penubuhan Pasukan Baharu Kedah FA, Ditaja Syarikat Milik Kerajaan Negeri

July 31, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penubuhan semula pasukan bola sepak oleh badan induk, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang diberikan nama Kedah FA untuk mengambil bahagian dalam kancah Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 akhirnya mendapat komen daripada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar – pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Beliau mempersoalkan niat sebenar badan induk itu menubuhkan pasukan baharu untuk bertanding dalam liga yang sama dengan KDA FC sedangkan KDA FC turut lahir daripada kantung yang sama serta menyambung legasi Kedah FA sebelum diswastakan.

Pada masa yang sama, Daud yang merupakan tokoh kewangan islamik tertanya-tanya mengenai kehadiran syarikat-syarikat milik kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) dan Kedah Tourism Sdn Bhd selaku penaja.

“Saya juga maklum sebelum ini bahawa hasrat YAB Presiden KFA merangkap Menteri Besar Kedah yang tidak mahu lagi wang negeri digunakan untuk tajaan bola sepak sebaliknya perlu ditumpukan kepada pembangunan negeri dan membantu rakyat Kedah yang miskin.”

“Saya tidak pasti apakah sebab dan alasan kepada perubahan dasar ini apabila pasukan Kedah FA 2025-2026 ditaja oleh beberapa syarikat milik negeri.” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam kenyataan yang sama, Dr. Daud sempat merakamkan penghargaan kepada KFA atas bantuan melangsaikan hutang-hutang yang tertunggak di bawah KDA FC namun beliau tetap menegaskan  penubuhan sebuah lagi pasukan oleh KFA merugikan negeri Kedah terutamanya daripada aspek kewangan. 

“Saya amat menghargai komitmen KFA untuk terus membantu melangsaikan hutang-hutang warisan di bawah KDA FC (bayaran KWSP yang tertunggak), tetapi tidakkah keputusan menubuhkan satu lagi pasukan yang bersaing sesama sendiri merugikan negeri Kedah dan menyebabkan lebih banyak kos perbelanjaan terpaksa dikeluarkan kerajaan negeri?”

“Malangnya, saya juga tidak pernah diajak duduk semeja berbincang berkaitan perkara ini dan sekiranya dipanggil, mungkin saya boleh memberi saranan saya untuk kebaikan bersama demi rakyat Kedah dan pengurusan kos yang lebih jimat atas semangat sama-sama tolong-menolong untuk pasukan negeri Kedah.”

Ketika KFA melancarkan pasukan, jersi baharu dan barisan penaja Kedah FA baru-baru ini, dikongsikan kepada umum bahawa penubuhan pasukan baharu ini sebahagian daripada Pelan Pembangunan Bola Sepak Kedah yang bermatlamat melahirkan pemain-pemain berkualiti, berdisiplin dan kompetitif.

KFA meletakkan harapan agar pemain-pemain ini dapat mewakili Kedah di peringkat tertinggi atau disalurkan kepada mana-mana kelab khususnya di negeri Kedah.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd