Kelantan The Real Warriors Masih Belum Boleh Mendaftarkan Pemain, Kena Sekatan FIFA
Hafiz Omar

Kelab yang diterajui oleh Tan Sri Annuar Musa iaitu Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) yang giat membuat persiapan untuk mengharungi saingan Liga Super 2025-2026 nampaknya masih belum boleh mendaftarkan pemain-pemain baharunya.
Ianya berikutan kelab yang dijenamakan daripada Kelantan Darul Naim FC itu dikenakan sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak 19hb Jun lalu – sepertimana tertera di laman sesawang FIFA Registration Bans.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd, sekatan itu dikenakan ekoran dua bekas pemainya yang melaporkan kes tunggakan gaji kepada FIFA.
“Buat masa ni Kelantan The Real Warriors masih dikenakan ‘transfer banned’ (sekatan perpindahan) oleh FIFA dan sehingga sekarang masih belum boleh mendaftarkan pemain-pemain.”
“Buat masa ini, dia (Kelantan TRW) perlu menggunakan pendaftaran (pemain) sedia ada, apa yang telah didaftarkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pihak media selepas Majlis Pelancaran Astro x Liga Malaysia 2025-2026 pada Khamis.
“Saya pun sedia maklum, kita berhubung rapat dengan pasukan Kelantan The Real Warriors, sebelum ini ada dua (kes) pemain yang menyebabkan sekatan perpindahan, sekarang tinggal satu, jadi ada satu sahaja lagi pemain yang perlu dijelaskan (tunggakan), dan selepas perkara ini diselesaikan maka Kelantan The Real Warriors dah boleh membuat pendaftaran pemain-pemain yang baru,” jelas Mohd Shaik lagi.
@sukanzcom 🗣️ Pemangku CEO MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd “Buat masa ni Kelantan The Real Warriors masih dikenakan transfer banned (sekatan perpindahan) oleh FIFA dan sehingga sekarang masih belum boleh mendaftarkan pemain-pemain.” “Buat masa ini, dia (Kelantan TRW) perlu menggunakan pendaftaran (pemain) sedia ada, apa yang telah didaftarkan sebelum ini,”
♬ original sound – Sukanz
Sejak dijenamakan semula, Kelantan TRW telah mengumumkan kemasukan beberapa pemain baharu secara rasmi seperti Azwan Aripin, T. Saravanan, Syafik Ismail, Azfar Arif, Syaahir Saiful, Khairul Izuan Rosli, Faros Shah Rosli, Danial Haqim, Fikri Che Soh, Nik Umar Nik Aziz, Farris Izdiham dan M. Rakesh.
Annuar Musa selaku presiden pernah berkongsikan hantaran menyambut kedatangan pemain-pemain import seperti Ifedayo Olusegun, Prince Aggreh, Damyan Damyanov, Hein Htet Aung, Albert Kang, Alexandre Yeoule, Muayad Al Khouli, Simen Lyngbo, Abdul Sesay, Yusuf Sesay ke dalam saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Terbaru, Annuar turut mengumumkan membawa masuk pemain tengah tempatan berkaliber, Nor Azam Azih serta bekas pemain import Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC, Habib Haroon.
Bagaimanapun, nama-nama tersebut tidak diumumkan secara rasmi oleh pihak kelab, sehingga hari ini.
Untuk makluman semua, MFL telah menetapkan jendela perpindahan pertama bagi musim ini berlangsung dari 9hb Jun hingga 31hb Ogos 2025.
Skuad bimbingan E. Elavarasan akan menghadapi aksi pertama Liga Super 2025-2026 dengan bertandang ke bumi kenyalang bertemu Kuching City FC bertempat di Stadium Negeri, Kuching.