Terbuka Macau: Jimmy-Pei Jing Julung Kali Jejak Pentas Separuh Akhir Jelajah Dunia
Hafiz Omar

Jimmy Wong yang bergandingan dengan Lai Pei Jing sekitar April lalu berjaya menjejakkan kaki buat julung kalinya di peringkat separuh akhir dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF.
Kemaraan itu dicetak dalam saingan Terbuka Macau 2025 selepas berhasil mengejutkan beregu China yang diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan, Cheng Xing dan Zhang Chi pada peringkat suku akhir menerusi skor 21-12, 17-21 dan 21-18.
Kemenangan itu membawanya bertemu dengan beregu Indonesia, Amri Syahnawi dan Nita Violina Marwah yang berada di ranking ke-19 dunia untuk merebut tiket ke perlawanan akhir bagi kejohanan bertaraf Super 300 tersebut.
Sejak bergandingan bersama, pencapaian terbaik Jimmy-Pei Jing hadir dengan bergelar naib juara sebanyak tiga kali di Cabaran Antarabangsa Vietnam, Siri Antarabangsa Thailand dan Terbuka St Denis Reunion.
Untuk makluman, Jimmy-Pei Jing mengikuti langkah beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ke separuh akhir Terbuka Macau 2025.
Sekiranya kedua-dua wakil negara ini menang, perlawanan akhir itu akan menyajikan perebutan juara antara dua wakil Malaysia.
Featured Image: Instagram Lai Pei Jing