Kelantan TRW Lancar ‘Special Kit’ Musim 25-26 Persis Fluminense FC
Hafiz Omar

Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang dijenamakan kepada Kelantan The Real Warriors (TRW) dan kini dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa tampil melancarkan jersi baharu untuk disarung sepanjang beraksi dalam Liga Malaysia 2025-2026, pada hari ini.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Mydin Mall Tunjong itu menyaksikan sebanyak tiga persalinan jersi keluaran syarikat tempatan, PUC Sport dipertontonkan kepada ribuan para peminat dan penyokong yang hadir.
Jersi utamanya atau digelar “Home Kit” hadir dalam warna serba merah dengan dihiasi sedikit warna putih dan hijau pada bahagian hujung lengan dan kolarnya. Sementara itu di bahagian bawah sisi kedua-dua bajunya turut disematkan dengan corak kotak-kotak.

Sementara itu, jersi keduanya atau “Away Kit” pula hadir dalam warna serba putih dan dihiasi dengan sedikit jalur merah pada bahagian hujung lengan dan kolar. Sepertimana jersi utamanya, ia turut dihiasi dengan corak kotak-kotak.

Menariknya pada kali ini, Kelantan TRW hadir dengan sepersalinan jersi ketiga yang dinamakan sebagai “Special Kit” seumpama jersi sebuah kelab yang bersaing dalam kancah bola sepak Brazil iaitu Fluminense FC.
Ianya hadir dengan konsep “tricolor” merangkumi merah, hijau dan putih dengan rekaan berjalur. Sebagai perbandingan, Fluminense FC menggabungkan warna hijau, maron dan putih.


Ketiga-tiga persalinan jersi itu memaparkan perletakan logo kelab, logo PUC Sport serta logo penaja-penajanya dalam keadaan kemas dan tersusun. Antara entiti yang jelas terpapar ialah Al Hamra Group, Konsortium Mutiara, RedOne, ROHM serta syarikat yang menguruskan kelab tersebut pada saat ini, Kijang Handal.
Dimaklumkan, kesemua jersi itu diletakkan tanda harga RM89 sehelai dan ianya boleh didapati di butik PUC Sport bermula hari ini.
Featured Image: Muhammad Faizol | PUC Sport