Sergio Aguero, Andros Townsend Kini Rakan Sepasukan Di Thailand
Hafiz Omar

Pemain naturalisasi yang mempunyai 15 penampilan bersama skuad kebangsaan, Sergio Aguero kini sepasukan dengan Andros Townsend – pemain yang pernah mewarnai saingan Premier League bersama Tottenham Hotspur, Newcastle United, Crystal Palace, Everton dan Luton Town.
Perkembangan itu hadir susulan pemain sayap berusia 34 yahun yang turut pernah beraksi bersama skuad kebangsan England terbabit diikat khidmatnya oleh pendatang baharu Liga Thai 1, Kanchanaburi Power FC – kelab yang sama disertai Aguero.
Kedatangan Townsend dikongsikan sendiri oleh peneraju kelab berkenaan, Dr. Prawat Kithammakunnit menerusi satu hantaran di akaun Facebook peribadinya.

Hantaran itu turut mengepilkan sekeping foto Townsend sambil memegang jersi Kanchanaburi Power FC bernombor 25 bersama keluarganya berlatarbelakang sebuah jambatan besi.
Untuk makluman, Townsend tiba di Thailand selepas beraksi semusim bersama Antalyaspor dalam saingan Liga Turki.
Selain Townsend, Aguero juga akan turut berkongsi padang dengan seorang lagi pemain yang pernah beraksi dalam kancah Premier League iaitu Aboubakar Kamara ketika bersama Fulham.