SUKMA 2026: Tinju & Sofbol Wajib Dipertandingkan, Penyertaan Kontinjen Brunei Lulus
Hafiz Omar

Setiap temasya Sukan Malaysia (SUKMA) bermula dengan edisi penganjuran di Negeri Selangor pada 2026 wajib menyertakan dua jenis sukan iaitu tinju dan sofbol.
Perkara tersebut telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh pada hari ini.
Keputusan itu menjadi jumlah keseluruhan sukan wajib dipertandingkan di temasya dwitahunan terbabit kepada 30 jenis sukan – tambahan kepada akuatik (renang & terjun), angkat berat, badminton, basikal (trek & lebuhraya), gimnastik (artistik & gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, hoki, judo dan ping pong.
Senarai itu dituruti dengan taekwando, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, wushu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.
Selain itu, mesyuarat pada hari ini turut meluluskan empat sukan tambahan bagi SUKMA 2026 iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi sekaligus menjadi sebanyak 34 jenis sukan dipertandingkan pada temasya akan datang.
“Keputusan ini adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan akan dipertimbangkan, bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh yang mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang temasya yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh negeri.” tulis kenyataan yang dikongsikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Dalam kenyataan yang sama, penyertaan atlet daripada jantina berbeza akan diwajibkan. Sementara itu, acara sukan yang tersenarai dalam Sukan Olimpik akan tetap dijalankan walaupun tidak mencapai penyertaan minimum atlet wanita – berbeza daripada peraturan terdahulu.
Paling menarik, mesyuarat hari ini turut meluluskan penyertaan Kontinjen Negara Brunei Darussalam dalam SUKMA 2026.
“Jenis dan jumlah sukan yang akan disertai akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.” tambah kenyataan itu lagi.