Acara Larian Denai TMB100 Tarik Penyertaan Lebih 2,200 Peserta, Libat 13 Negara

August 12, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Acara larian denai, The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 15hb dan 16hb Ogos kelak di Baling, Kedah bakal dimeriahkan dengan penyertaan lebih 2,200 peserta melibatkan 13 negara.

Antaranya Brunei, China, Chad, Indonesia, Republik Korea, Filipina, Rusia, Singapura, Switzerland, Thailand, United Kingdom dan Vietnam selain penyertaan daripada peserta-peserta tempatan.

Acara larian denai ini merupakan antara yang berprestij dianjurkan di Malaysia dan ianya bakal memasuki edisi ketiga penganjuran sejak diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun 2023.

Penganjur TMB100, Ten Senses (M) Sdn Bhd memaklumkan penyertaan pada edisi kali ini meningkat lebih 100 peratus berbanding edisi kedua yang berlangsung pada tahun lalu.

Peningkatan ketara itu datangnya daripada kategori 10 kilometer (KM) dan 25KM namun lebih menarik penganjuran kali ini turut menyaksikan pertambahan penyertaan bagi kategori ‘ultra’ iaitu larian jarak jauh 50KM dan 100KM.

“Kami mula memperkenalkan acara TMB100 ini pada tahun 2023 dengan jumlah penyertaan ketika itu sekitar 700 orang sahaja.” 

“Kemudian, jumlahnya bertambah kepada hampir 1,000 orang pada edisi tahun lalu, dan untuk edisi tahun ini, kami sudah pun menerima pendaftaran peserta sekitar 2,200 orang.” 

“Apa yang lebih menarik ialah jumlah penyertaan bagi acara larian ‘ultra’ iaitu 50KM dan 100KM turut meningkat berbanding dua edisi sebelum ini.” 

“Ini menunjukkan peminat acara larian denai di negara ini semakin meminati acara larian jarak jauh bagi menguji ketahanan diri masing-masing setelah sekian lama menceburi larian denai jarak dekat dan sederhana,”. Kongsi Pengarah Urusan Ten Senses, Mohd Bukhari Ismail.

Untuk makluman, TMB100 merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Ten Senses dengan kerjasama Kedah Tourism, Majlis Daerah Baling dan Persatuan Rekreasi Luar dan Malim Gunung Baling bagi mempromosikan daerah Baling sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan di negeri Kedah.

Menurut Bukhari, pemilihan daerah Baling sebagai destinasi acara ini bertepatan dengan konsep acara larian denai yang memerlukan peserta-peserta melalui laluan merangkumi pelbagai bentuk muka bumi.

Pelepasan peserta bermula di Pekan Baling dan akan menyusuri laluan-laluan seperti kawasan Bukit Palong, kawasan sawah padi, laluan tepi Sungai Ketil, Gua Tembus, Gua Layang-Layang, Gua Matahari, Gua Ikan, Gua Jepun, Gua Ular dan kaki Gunung Pulai selain kawasan perkampungan tradisional sebelum menamatkan larian di lokasi permulaan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi setiap jarak larian.

Sebagai tambahan, edisi TMB100 pada kali ini turut menggunakan tema “The Origin of Ban Ling” dengan mengetengahkan monyet sebagai logo dan bertepatan dengan perkataan “Ban-Ling” dalam bahasa Thailand yang membawa maksud monyet.

Sebelum ini, mereka menampilkan harimau malaya dengan tema “Ruler of Two Mountains” bagi edisi pertama diikuti dengan rusa berserta tema “The Wisdom of Deer” untuk edisi kedua. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd