Aplikasi Grab Bakal Luaskan Keterlihatan Liga Wanita Nasional
Hafiz Omar

Aplikasi serba guna yang menawarkan perkhidmatan layanan penghantaran, mobiliti dan kewangan digital iaitu Grab bakal memperluaskan keterlihatan kancah tertinggi bola sepak wanita tanah air iaitu Liga Wanita Nasional (LWN) di aplikasinya.
Peluasan keterlihatan itu bakal melibatkan perlawanan, pemain dan saingan liga itu sendiri bagi menggalakkan rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada komuniti bola sepak wanita.
Inisiatif itu hadir berikutan kerjasama Grab Malaysia dengan LWN yang dimeterai baru-baru ini. Hasil daripada kerjasama itu, Grab Malaysia telah dinamakan sebagai Platform e-Hailing & Penghantaran makanan Rasmi LWN.
Selain itu, Grab juga memaklumkan akan bekerjasama dengan LWN untuk menghasilkan kandungan berinspirasi yang menyerlahkan liga dan para pemainnya bagi meningkatkan keterlibatan dan sambutan orang ramai.
Sementara itu, di lokasi perlawanan, penonton boleh menikmati pengalaman yang lebih lancar dengan menempah makan kegemaran mereka melalui GrabFood. Manakala para pemain LWN akan menerima pelbagai ganjaran dan keistimewaan eksklusif sebagai sebahagian daripada komitmen Grab untuk memperkasa wanita di dalam dan luar padang.
Untuk makluman semua, edisi LWN kali ini menampilkan penyertaan lapan pasukan terdiri daripada Kelana United FC, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA, MBSJ FC, Red Eagles FC, Sabah FA, Selangor FC dan Young Tigress.