Penaja Nak Tengok Selangor FC Julang Piala Shopee 2025-2026

August 14, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

“Kita nak tengok sehingga (Selangor FC) menang piala (Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee), itu harapan kita,” demikian lontaran cabaran oleh Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan Sime UMW, Ami Akhram Abdullah.

“Seterusnya layak lagi (Piala Shopee) dan macam cogan kata Grantt ‘move further’ pergi sejauh mungkin sampai final (perlawanan akhir) sampai menang cup (piala). Lepas itu, tahun seterusnya ‘last longer’, jadi kekal di situ sampai bila-bila,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas Selangor FC dan jenama minyak pelincir tempatan, Grantt Lubricants yang dimiliki oleh UMW Lubetech Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerjasama selama semusim selaku Rakan Rasmi Selangor FC.

Hasil kerjasama itu menyaksikan jenama Grantt Lubricants muncul sebagai logo penaja tunggal menghiasi jersi “home” dan “alternate” yang akan disarung semasa beraksi dalam saingan Piala Shopee 2025-2026 anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Lontaran itu disahut dengan baik oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dan beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu suntikan semangat buat barisan pengurusan, kejurulatihan dan para pemain. 

Pada masa yang sama, kerjasama itu akan menyaksikan jenama Grantt Lubricants bakal dipaparkan pada papan LED di tepi padang semasa hari perlawanan, ruangan-ruangan di stadium serta platform-platform digital milik Selangor FC. 

Selain itu, Grantt Lubricants turut merencanakan program-program libat urus bersama penyokong-penyokong, penghasilan kandungan digital bersama Selangor FC serta penampilan para pemain bersama jenamanya.

“(Penajaan) bola sepak ni kita nak bagi (seumpama) kejutan, sebab kita jadi syarikat minyak pelincir pertama di Malaysia yang menaja (kelab) bola sepak tempatan, kalau awak faham konsep branding (penjenamaan), awak nak buat sesuatu yang memorable (diingati), 

Hopefully (harapnya) dengan penajaan (ini) orang akan (ingat) kita punya jenama, orang akan beli dan orang akan ulang pembelian, itu kita punya objektif utama,” jelasnya.

Untuk makluman semua, Selangor FC akan memulakan kempen Piala Shopee 2025-2026 peringkat Kumpulan A dengan bertemu kelab gergasi Thailand merangkap juara bertahan, Buriram United FC pada 20hb Ogos di tempat lawan.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd