Jersi Selangor FC Edisi Piala Shopee Dijangka Mula Dijual Hujung Ogos – Harga RM159
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC tampil memperkenalkan dua persalinan jersi baharu yang akan digunakan untuk beraksi dalam saingan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee 2025-2026.
Jersi itu diperkenalkan selepas Selangor FC mengikat kerjasama dengan Grantt Lubricants, sebuah jenama minyak pelincir tempatan milik UMW Lubetech Sdn Bhd pada hari ini.
Hasil kerjasama itu menyaksikan logo Grantt Lubricants dipaparkan pada ruangan hadapan jersi “home”, warna merah kuning, dan jersi “alternate”, warna biru kuning, Selangor FC bagi edisi Piala Shopee berkenaan.
Melihat dengan lebih dekat, jersi itu tampil dengan corak berlian selain dihiasi dengan tampalan bendera Malaysia antara logo pembuat jersi, Joma dan logo Selangor FC.
Dibelek pada bahagian belakang jersi pada bawah kolar, disematkan pula frasa “This Is Selangor”. Satu label “Selangor FC Official Product” berlatarbelakangkan warna krim pula dijahita pada bahagian sisi jersi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkongsikan bahawa rekaan jersi ini tidak sepertimana rekaan jersi-jersi Selangor FC yang lain.
Ianya lebih terarah kepada rekaan persalinan dunia sukan permotoran disamping memasukkan elemen-elemen retro khusus untuk meraikan kerjasama dengan Grantt Lubricants yang lebih sinonim dalam sektor atau bidang permotoran.
Pada masa yang sama, Johan turut memaklumkan jersi ini dijangka mula dijual seawal hujung Ogos ini dengan tanda harga RM159 sehelai.