Mantan Ketua Polis Kelantan Dilantik Sebagai Presiden Kelantan Red Warrior FC
Hafiz Omar

Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) yang kini dimiliki oleh rangkaian kedai kopi bertemakan hipster, Nasken Coffee mengumumkan mantan Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun sebagai presidennya.
Pelantikan itu diumumkan menerusi satu sidang media khas selain turut dikongsikan menerusi poster yang dimuat naik di akaun media sosialnya, pada hari ini.
“Dato Zaki membawa bersama beliau reputasi luar biasa dalam bidang kepimpinan, disiplin dan integriti serta nilai yang amat penting dalam membentuk budaya profesional dan berdaya saing KRW FC. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Kelantan, di mana beliau terbukti cekap dalam pengurusan organisasi dan hubungan masyarakat.”
“Kini, beliau meneraju revolusi KRWFC dengan misi membangunkan kelab sebagai pencabar besar dalam Liga A1 Semi-Pro. Dengan dedikasi, visi jelas dan komitmen tinggi, kepimpinan beliau diharapkan mampu menyatukan pemain, pengurusan dan penyokong ke arah kejayaan gemilang.” tulis kenyataan terbabit.
Dalam sidang media yang sama, KRWFC turut mengumumkan jenama fesyen terkemuka sejak tahun 1975, Amar Amran sebagai Penaja Rasmi KRWFC musim ini.
Untuk makluman, KRWFC akan turun berentap dalam aksi sulung Liga A1 Semi-Pro pada 22hb Ogos kelak bertemu UM-Damansara United bertempat di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.