Kelantan TRW Buru Pemain Import Ke-10
Hafiz Omar

Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) bimbingan E. Elavarasan nampaknya akan diperkuatkan dengan kehadiran seorang lagi pemain import bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Kemasukan pemain import kesepuluh itu dikongsikan sendiri oleh Presiden Kelantan TRW, Tan Sri Annuar Musa tengah malam tadi selepas pasukannya mengejutkan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi pertama Pusingan 16, Piala FA 2025-2026.
“Insya-Allah kita akan bawa masuk seorang lagi pemain kebangsaan negara ASEAN dan akan bersama pasukan 3 hari lagi.”
“Kita perkuatkan (Kelantan) TRW secara berperingkat.” tulisnya di akaun Facebook peribadinya sambil mengepilkan beberapa gambar beliau turun ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Dalam perlawanan terbabit, anak-anak buah Elavarasan berhasil melakar kemenangan dengan keputusan 3-1 hasil jaringan berganda daripada Ifedayo Olusegun (5’, 17’) dan satu gol oleh Sean Selvaraj (65’).
Manakala KL City pula sempat meraih bekalan satu gol menerusi Syamer Kutty Abba (86’) sebelum pengadil perlawanan, Mohamad Faizudin Ismail meniup wisel menamatkan permainan.
Kelantan TRW akan bertandang ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14hb September bagi aksi timbal balik bertemu KL City.
Untuk rekod, Kelantan TRW kini memiliki sembilan pemain import iaitu Ifedayo Olusegun, Habib Haroon, Prince Aggreh (Bahrain), Alexandre Yeoule (Ivory Coast), Damyan Damyanov (Bulgaria), Albert Kang (Kanada), Yusuf Sesay, Abdul Sesay (Sierra Leone) dan Simen Lyngbø (Filipina).
Sebagai tambahan, jendela pendaftaran atau jendela perpindahan pertama Liga Malaysia bagi musim ini akan berakhir pada 31hb Ogos kelak.
Featured Image: Facebook Tan Sri Annuar Musa