Terengganu FC Dapat Suntikan Kewangan Daripada Ice Power

August 19, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC memperkenalkan satu lagi rakan strategiknya yang bukan sahaja memberikan tajaan dalam bentuk barangan bahkan wang tunai bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026.

Menerusi satu makluman oleh pihak kelab, rakan strategik terbarunya itu adalah jenama produk kesihatan antarabangsa yang berasal dari Finland iaitu Ice Power.

Pemeteraian perjanjian penajaan melibatkan Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan Ice Power menerusi pengedar rasminya, Synteq Medical Sdn Bhd berlangsung pada hari ini di Bilik Sidang Media, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Dalam perjanjian tersebut, TFCSB dan ICE POWER telah menandatangani dalam bentuk pakej bronze yang merangkumi dalam bentuk tunai dan perkhidmatan iaitu bekalan produk Ice Power yang akan dimanfaatkan kepada pemain-pemain Terengganu FC.”  tulis kenyataan oleh pihak kelab.

Bagaimanapun, jumlah wang tunai yang ditaja oleh Ice Power kepada Terengganu FC tidak dikongsikan kepada umum termasuk jumlah keseluruhan tajaan yang merangkumi barangannya.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC, YB Hishamuddin Abdul Karim dalam ucapan pembukaannya menekankan penajaan ini bukan sahaja memberi manfaat kewangan tetapi juga menyumbang kepada aspek kesihatan dan kebajikan atlet yang menjadi keutamaan dalam pembangunan sukan negeri.

Untuk makluman semua, jenama Ice Power merupakan penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland serta kejohanan badminton antarabangsa anjuran Badminton Finland, Terbuka Artik.

Featured Image: Terengganu FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd