Negeri Sembilan Tak Turunkan Luqman Hakim Lawan Selangor
Hafiz Omar

Penyerang muda kelahiran Kota Bharu yang berkelana di luar negara sebelum ini, Luqman Hakim perlu menunggu sedikit masa lagi sebelum melakukan debut secara rasmi bersama Negeri Sembilan FC.
Perlawanan berikutnya, Negeri Sembilan FC bimbingan Nidzam Jamil akan bekas kelab bimbingannya iaitu Selangor FC dalam saingan Liga Super dan khidmat Luqman yang berusia 23 tahun itu hampir pasti tidak akan digunakan.
Dijangka peluang Luqman untuk melakukan debut bakal menjelma apabila Negeri Sembilan FC melayan kunjungan Kuching City FC pada 29hb Ogos kelak.
“Tidak untuk (perlawanan menentang) Selangor FC, untuk Selangor FC tak, saya rasa menentang Kuching (City) mungkin dia bersedia,” kata jurulatih berusia 45 tahun dalam sidang media selepas perlawanan menentang PDRM FC, malam tadi.

Sebagai rekod, Luqman kembali semula ke tanah air dengan menyertai Negeri Sembilan FC selepas lima tahun berkelana di Belgium, Iceland dan Jepun.
Sehingga hari ini, nama Luqman masih tidak tersenarai bukan sahaja dalam kesebelasan utama bahkan dalam senarai pemain simpanan pada hari perlawanan ketika Negeri Sembilan FC bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PDRM FC.
Sebelum ini, pihak kelab memaklumkan Luqman tidak dapat diturunkan akibat mengalami kecederaan.
Selain Luqman, Nidzam juga memaklumkan bekas pertahanan skuad Gergasi Merah iaitu Khuzaimi Piee, turut mengalami kecederaan, juga tidak akan diturunkan bertemu Selangor FC.
“Sama jugak dengan Jimi, saya boleh bagitahu Jimi pun dengan Selangor FC mungkin tak bermain, mereka memerlukan sekurang-kurangnya tujuh hari ke sepuluh hari lagi, kemudian kita tengok kemajuannya selepas daripada itu,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pemain importnya yang dipinjamkan daripada Selangor FC, Alex Agyarkwa juga tidak dapat diturunkan pada Ahad nanti di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi berikutan “gentleman agreement”.
Featured Image: Negeri Sembilan Football Club