Kuartet 4x100m Wanita UPSI Pecah Rekod
Hafiz Omar

Kuartet 4×100 meter (m) wanita Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar kejayaan berganda di Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 3 2025 apabila bukan sahaja merangkul kilauan pingat emas bahkan turut mencipta rekod baharu kejohanan bagi acara tersebut.
Kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) menyaksikan kuartet yang terdiri daripada Mis’ezatul Shafieqa Sapawi, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka, Nor Anis Maisarah Mohamad Noor dan Nurul Wafa Annisa Mohd Hamka berhasil menamatkan larian dengan catatan masa 47.67 saat (s) mengatasi rekod terdahulu, 48.47s, milik Universiti Putra Malaysia (UPM).

Bukan itu sahaja, kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 15hb hingga 17hb Ogos itu memperlihatkan kontinjen olahraga UPSI menamatkan saingan selaku naib juara keseluruhan dengan pungutan 31 pingat merangkumi 10 butir emas, 11 butir perak dan 10 butir gangsa.
Antara yang menyumbang kepada pungutan pingat itu adalah pelari pecut, Danish Iftikar yang menjuarai acara pecut 100m dengan catatan masa 10.43s dan dominasi sepenuhnya UPSI dalam acara lompat jauh lelaki menyapu pingat emas, perak dan gangsa.
Kejohanan itu melabuhkan tirainya dengan 20 atlet UPSI tersenarai untuk mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) ke Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) Ke-10 yang akan berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, dari 1hb hingga 7hb September kelak.