100Plus Lanjut Sokongan Kepada Skuad Kebangsaan, FAM

August 20, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Minuman isotonik No.1 Malaysia, 100Plus komited untuk terus menyokong Persatuan Bola Sepak Malaysia serta skuad kebangsaan bagi tempoh lanjutan selama dua tahun sehingga akhir 2026.

Lanjutan itu menyaksikan 100Plus akan terus menjadi Rakan Minuman Isotonik Rasmi buat skuad kebangsaan senior lelaki dan wanita serta skuad-skuad kebangsaan yang lain seperti futsal dan remaja.

Menerusinya, pemain-pemain skuad kebangsaan bukan sahaja mendapat bekalan minuman isotonik 100Plus bahkan air mineral dan minuman, Ice Mountain.

Bukan itu sahaja, pertandingan anjuran FAM, antaranya Piala Tun Sharifah Rodziah dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) kategori lelaki dan wanita turut mendapat manfaat daripada lanjutan ini.

“100PLUS sentiasa setia dan menyokong bola sepak di Malaysia. Kami berasakan bahawa cara terbaik untuk menyumbang kepada perkembangan dan pembangunan sukan ini adalah menerusi kerjasama dengan FAM.”

“Kami gembira dengan hubungan yang cukup baik selama ini dan berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini untuk tempoh dua tahun lagi.” kata Dato’ Raffiq Bin Md Ariff, Pengarah Urusan, Bahagian Makanan & Libat Urus Industri, Fraser & Neave Holdings Bhd pada majlis pembaharuan kerjasama dengan FAM hari ini.

Menyifatkan 100Plus sebagai minuman yang ideal untuk pemain kebangsaan, Dato’ Raffiq menambah, “100PLUS akan memberikan penghidratan yang sewajarnya kepada pemain, semasa perlawanan, latihan dan juga membantu pemulihan mereka selepas sesi latihan yang berat. Pemain akan mendapat banyak manfaat menerusi pengambilan 100PLUS.”

Selain menyokong FAM dan pelbagai pasukan kebangsaan termasuk belia, 100Plus telah bekerjasama rapat dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan dalam program bola sepak remaja Liga KPM sejak penubuhannya pada 2008.

100Plus cukup sinonim dalam menyokong sukan di negara ini dan turut menaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Majlis Sukan Negara serta penaja utama bagi Anugerah 100PLUS Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Selain itu, 100Plus turut menyokong atlet terkemuka tanah air seperti Datuk Seri Lee Chong Wei, Datuk Azizulhasni Awang, Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-Thinaah Muralitharan –  turut berperanan selaku Duta Jenama 100Plus.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd