16 Sekolah Rebut Piala Kejohanan Bola Sepak B12 F&N Magnolia

August 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Buat julung kalinya 16 buah pasukan yang menjuarai saingan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Lembah Klang berhimpun merebut piala Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B12) F&N Magnolia.

Kejohanan yang bakal berlangsung selama empat hari itu dijadualkan bermula 13hb hingga 16hb Oktober di SMK USJ 23, Subang Jaya. Ianya dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pasukan-pasukan yang layak bertanding itu terdiri daripada 10 buah sekolah di Selangor, empat sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dua sekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Kejayaan Liga KPM mendorong kami untuk meluaskan lagi penglibatan dalam pembangunan bola sepak remaja ke peringkat bawah 12 tahun pula. Kami sedar lebih banyak kejohanan berkualiti diperlukan, justeru, dengan kerjasama BSKK, kami menganjurkan kejohanan baharu ini,”

“Kami yakin kejohanan ini akan mendapat sambutan hebat dalam kalangan pemain muda dan akan diteruskan pada tahun hadapan. Jika berjaya, tidak mustahil kejohanan ini akan diperluas lagi selepas tahun 2026,” kata Norazrin Norsyam Yee, Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri, Fraser & Neave Holdings Bhd.

Saingan ini bakal berlangsung dengan format 9-sebelah dimana kesemua 16 buah pasukan yang terpilih akan dibahagikan kepada empat buah kumpulan.

Dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke saingan kalah mati – peringkat suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir untuk mencari sang juara.

Sementara itu, Pengarah BSSK, Ithnin Mahadi turut menyatakan rasa gembira dengan penganjuran kejohanan ini dan menghargai komitmen yang disumbangkan oleh F&N kepada pembangunan bola sepak tanah air.

“Kerjasama antara Kementerian dan F&N telah lama terjalin. Ia bukti komitmen berterusan mereka dalam pembangunan bola sepak Malaysia daripada peringkat akar umbi. Pihak swasta sememangnya mempunyai peranan penting dalam membangunkan sukan, dan kami menghargai sokongan jangka panjang F&N Beverages Marketing Sdn Bhd,” ujarnya.

Senarai penuh sekolah yang terpilih:

  1. SK Putrajaya Presint 9 (2) – WP Putrajaya
  2. SK Putrajaya Presint 15 (1) – WP Putrajaya
  3. SK Sultan Hisamuddin Alam Shah – WP Kuala Lumpur
  4. SK Cochrane – WP Kuala Lumpur
  5. SK Taman Melati – WP Kuala Lumpur
  6. SK Batu Muda – WP Kuala Lumpur
  7. SK Damansara Damai (2) – Selangor
  8. SK Serdang UPM – Selangor
  9. SK Semenyih – Selangor
  10. SK Bukit Naga – Selangor
  11. SK Taman Tun Teja – Selangor
  12. SK Bandar Baru Salak Tinggi – Selangor
  13. SK Ulu Yam Bharu – Selangor
  14. SK Seri Pristana – Selangor
  15. SK Kebun Baharu – Selangor
  16. SK Binjai Jaya – Selangor

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd