Pengalaman Selaku Bekas Pengendali SFC Bukan Faktor Utama Kemenangan
Hafiz Omar

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil tidak menganggap pengalamannya bersama Selangor FC (SFC) termasuk menjadi ketua jurulatihnya pada musim lalu menjadi faktor utama skuad berjulukan The Jangs melakar kemenangan 2-1, pada malam tadi.
Perkara tersebut hanya menyumbang sedikit sahaja terhadap kemenangan NSFC biarpun beliau mengetahui kemampuan dan kelemahan majoriti pemain Gergasi Merah.
Jurulatih berusia 45 tahun berkenaan menekankan bahawa faktor utama yang menyumbang kepada kemenangan dramatik pada malam tadi adalah para pemainnya yang berjuang tanpa henti bermula daripada ketinggalan 0-1 sehingga berhasil memungut tiga mata penuh.
“Sedikit (membantu) tetapi itu tak memberi jaminan yang awak akan dapat tiga mata, ia tetap pemain-pemain yang akan jalankan tugas atas padang,” katanya ketika ditemui selepas aksi perlawanan ketiga Liga Super 2025-26.
“Bola sepak macam itulah, kita boleh analisa, kita bola ada satu pelan permainan, defensif nak buat macam mana, ofensif nak buat macam mana tetapi pemain-pemain yang buat benda itu lebih menarik,” tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, Nidzam mengakui kemenangan itu tidak menjelma dengan mudah memandangkan SFC mempunyai kualiti, baru sahaja beraksi di pentas antarabangsa serta mempunyai pemain bertaraf tinggi yang bakal beraksi di pentas Piala Dunia 2026.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu bermula dengan SFC kendalian Katsuhito Kinoshi mendahului seawal minit ke-12 menerusi Richmond Akrah sambil meneruskan penguasaan permainan.
Tersentak dengan jaringan itu, NSFC melancarkan beberapa serangan ke arah gawang yang dikawal oleh Kalamullah Al-Hafiz namun percubaan mereka banyak tersasar dan melewati palang gol.
Bagaimanapun, NSFC semakin agresif melancarkan serangan selepas kemasukan Mio Tsuneyasu, Haiqal Danish serta Hadin Azman sehingga berjaya menyumbat masuk dua gol pada minit ke-83 dan ke-90+3 masing-masing menerusi Mio.
Perlawanan terbabit turut berlangsung meriah dengan kehadiran 25,550 penonton – rekod kehadiran tertinggi bagi perlawanan ketiga Liga Super musim ini.
“Ada pemain-pemain yang baru sampai, sudah tentu dia ada buat kajian macam mana pasukan ini dua tiga tahun (lalu), tiba-tiba 25,000 orang datang, bukan mudah ye nak main (depan penonton yang ramai).” ujarnya lagi.
Featured Image: Negeri Sembilan Football Club