TMB100: Pelari Sabah Muncul Juara – Catatan Masa 10 Jam 35 Minit 45 Saat

August 25, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Acara larian denai, The Magnificent Baling (TMB) 100 yang berlangsung pada 15hb dan 16hb Ogos lalu menyaksikan tiga kedudukan teratas  acara 100 kilometer (KM) lelaki diungguli oleh pelari tempatan.

Pelari dari Sabah, Wilsen Singgin muncul juara bagi acara berkenaan selepas menamatkan larian dengan catatan masa 10 jam 35 minit dan 45 saat sementara tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Milton Amat (10:51:47) dan Yun Huan Sua (11:15:33) masing-masing.

Bagi acara 100KM wanita pula, peserta Filipina, Ritzy Amor Ectin muncul juara dengan catatan masa 15 jam 33 minit dan 57 saat. Manakala tempat kedua menjadi milik pelari tempatan dengan rekod 16 jam 47 minit dan 13 saat sementara pelari Indonesia, Septiana Nia Swastika membolot tempat ketiga dengan tempoh larian 17 jam 5 minit dan 11 saat.

Beralih kepada acara 50KM pula, juara kategori lelaki menjadi milik pelari Republik Korea, Yeonggyun Cho (4:49:33) sementara juara kategori wanita menjadi milik pelari tempatan, Mei Sze Chong (6:08:06).

Tempat pertama acara berjarak sederhana, 25KM pula dimenangi Khairulamirin Kamarudin (2:05:30) untuk kategori lelaki, dan Masliana Mustafa (2:54:48) bagi kategori wanita. Akhir sekali, bagi jarak larian 10KM, Mohd. Shahril Md. Jusoh (52:01) muncul juara bagi kategori lelaki sementara kategori wanita menjadi milik Fatin Bensulong (1:12:47).

Dikhabarkan hampir 90 peratus daripada keseluruhan peserta yang memulakan larian bagi kesemua kategori berjaya menamatkan larian mengikut tempoh yang telah ditetapkan dan Pengarah Urusan Ten Senses (M) Sdn Bhd (Ten Senses), Mohd. Bukhari Ismail, melabelkan peratusan tinggi itu sebagai satu pencapaian yang membanggakan dan melebihi daripada jangkaan awal.

“Pada peringkat awal, kami menjangkakan jumlah peserta yang berjaya menamatkan larian di bawah tempoh masa yang ditetapkan adalah sekitar 80 peratus hingga 85 peratus sahaja memandangkan hujan yang turun di awal permulaan acara 50KM dan 100KM.”

“Kebiasaannya, jika peserta terpaksa berlari dalam keadaan hujan, ia sedikit sebanyak akan meningkatkan tahap cabaran kepada peserta.”

“Ini kerana selain terpaksa meredah laluan denai yang berlecak dan berlumpur, mereka juga terpaksa berhadapan dengan kesejukan yang boleh mengakibatkan mereka mudah mengalami kekejangan dan kecederaan.”

“Bagaimanapun, peratusan tinggi bagi jumlah peserta yang berjaya menamatkan larian itu menunjukkan kesemua mereka telah bersedia daripada segi mental dan fizikal menerusi latihan yang telah dilakukan sebelum menyertai TMB100 kali ini,” katanya.

Memandangkan acara TMB100 semakin mendapat sambutan dalam kalangan peminat acara larian denai di negara ini, pihaknya merancang untuk memperkenalkan kategori jarak baharu bagi edisi tahun 2026.

“Berdasarkan pencapaian tahun ini yang menunjukkan jumlah penyertaan meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lalu dan peratusan peserta tamat larian yang tinggi, maka kami merancang untuk memperkenalkan dua jarak baharu iaitu 75KM dan 160KM (100 batu).”

“Malah, kami turut mendapat banyak maklum balas daripada peserta TMB100 tahun ini yang mahu kami menawarkan dua jarak larian baharu ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat acara larian denai untuk mencabar keupayaan diri masing-masing,” tambahnya.

Untuk makluman, TMB100 merupakan acara larian denai yang dianjurkan Ten Senses sejak tahun 2023, dijayakan dengan kerjasama Kedah Tourism, Majlis Daerah Baling dan Persatuan Rekreasi Luar dan Malim Gunung Baling bagi mempromosikan daerah Baling sebagai salah satu destinasi eko-pelancongan di negeri Kedah.

Turut membantu dalam menjayakan acara itu ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Hospital Daerah Baling dan Kolej Komuniti Baling yang menyediakan kumpulan pelajar jurusan Sijil Penyediaan Makanan dan Hospitaliti untuk membantu menyajikan makanan kepada peserta.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd